Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@hmetro.com.my


“ALHAMDULILLAH, saya berharap orang ramai terus berdoa untuk Nishka.

“Mudah-mudahan dengan doa semua akan menguatkan lagi semangat Nishka untuk melawan kedua-dua kanser itu,” kata Khairiah Kamarudin, 35.

Khairiah memberi reaksi itu kerana terharu dengan keprihatinan warganet menghubunginya sejak semalam berikutan penderitaan anaknya, Kyfa Nishka Al-Kautsar Mohd Farham berusia empat bulan yang menghidap kanser otak (Medullablastoma) tahap empat dan kanser buah pinggang, tular di media sosial.

Kyfa Nishka Al-Kautsar kini dirawat di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di Kota Bharu.

Khairiah berkata, dia sangat terkejut dengan reaksi warganet yang prihatin mendoakan Nishka supaya cepat sihat dan stabil bagi membolehkannya menjalani rawatan kemoterapi yang ketiga dalam masa terdekat.

Menurutnya, rawatan kemoterapi itu perlu dijalankan kepada bayinya supaya sel kanser tidak membesar dan merebak.

“Namun, setakat ini keadaan anak masih tidak stabil kerana menggunakan bantuan untuk pernafasan (intubated veltilation),” katanya ketika dihubungi wartawan Harian Metro.

Ibu kepada lima anak itu berkata, dia tidak menyangka terlalu ramai warganet yang sayangkan Nishka apabila turut memberi sokongan moral kepadanya dan suami, Mohd Farham Che Ahmad, 36.

“Harapan saya supaya anak kembali sihat dan dapat keluar wad memandangkan kami sudah berada di sini lebih tiga bulan yang lalu.

“Hospital menjadi rumah pertama kami dan saya berterima kasih kepada pakar perubatan yang bertungkus-lumus memberi rawatan terbaik kepada Nishka,” katanya.

Portal Harian Metro semalam melaporkan pasangan suami isteri diduga apabila bayi perempuan mereka yang berusia empat bulan disahkan menghidap kanser otak (Medullablastoma) tahap empat.

Bayi berkenaan disahkan menghidap penyakit berkenaan selepas keadaan kepalanya yang agak besar berbanding bayi seusianya dan perlu menjalani rawatan di HUSM.

Nasib bayi berkenaan juga mendapat perhatian beberapa selebriti tanah air termasuk penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang ulang siar video di laman Instagram penyanyi itu dan berdoa kepada bayi berkenaan.

Berita berkaitan

Ya Allah, sembuhkan Nishka [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 3:20 PM
NISHKA kini dirawat di ICU Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di Kota Bharu. Foto Ihsan Keluarga