ANGGOTA bomba memadam kebakaran rumah di Jalan Budiman, Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru. FOTO ihsan bomba dan penyelamat
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


“SYUKUR Alhamdulillah, walaupun dalam keadaan kaki mak yang tempang, dia berusaha mendukung cucunya untuk menyelamatkan diri ketika kebakaran rumah berlaku pagi tadi (semalam),” kata Siti Aishah Ali, 34.

Ibu kepada Siti Aishah, Rohani Alwee, 61, yang juga orang kurang upaya (OKU) berada di rumahnya di Jalan Budiman, Kampung Melayu Majidee di sini, bersama anak Siti Aishah, Nur Alena Inara Mohd Ghadafie, 15 bulan yang dijaganya ketika Siti Aishah keluar bekerja.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi, Rohani melihat asap tebal keluar dari dapur rumahnya sebelum membuka pintu untuk memastikan punca kejadian.

Menurut Siti Aishah, ibunya terkejut melihat rumah jiran berhampiran hangus dijilat api manakala bahagian hadapan rumahnya terbakar.

“Emak terus mendapatkan bayi saya dan berlari keluar. Saya yang ketika itu bekerja sambilan sebagai jurujual alat penapis air dan udara di Larkin mendapat panggilan telefon daripada jiran memaklumkan kebakaran dua rumah termasuk rumah emak.

“Ketika itu, jiran menghubungi bomba dan tidak lama kemudian, pasukan bomba tiba dan memadamkan kebakaran,” katanya.

Siti Aishah berkata, kebakaran itu memusnahkan rumah yang dihuni sejak 30 tahun lalu.

“Emak tinggal dengan adik, Mohamad Noh Ali, 26, yang ketika kejadian keluar bekerja. Saya tinggal di Permas Jaya, namun menghantar anak bongsu ke rumah untuk dijaga emak sementara saya bekerja.

“Dua lagi anak saya yang bersekolah turut ke rumah emak apabila tamat sesi persekolahan menyebabkan barangan sekolah anak turut musnah terbakar,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi yang juga Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Saiful Bahri Safar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.58 pagi.

“Seramai 10 anggota bomba dengan dua jentera bergegas ke tempat kejadian. Kami turut mendapatkan bantuan 11 anggota dan sebuah jentera dari BBP Johor Bahru serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Semua mangsa berjaya menyelamatkan diri sebelum kami tiba di lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata, dua rumah separuh kekal musnah dalam kejadian itu.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 6:15 AM