Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


PENGACARA dan pelakon popular Noor Neelofa Mohd Nor, 30, memasang impian untuk memiliki jet peribadi.

Neelofa berkongsi perkara terbabit ketika diajukan soalan mengenai tiga impian yang belum dikecapi dalam program terbaru terbitan Harian Metro, Opsss, hari ini.

"Saya mahu memperkuatkan jenama di peringkat antarabangsa selain mengintai peluang dalam bidang hartanah dan ingin memiliki jet peribadi," katanya.

Dalam pada itu, Neelofa turut menolak dakwaan sering bertemu dan meluangkan masa bersama kerabat diraja.

Menurut Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH ke-29 itu, hubungan yang terjalin itu berlandaskan persahabatan sahaja.

"Kalau betul pun saya anggap mereka sebagai kawan sahaja," katanya.

Antara lain yang mencuri perhatian, Neelofa mengakui meminati lelaki berjambang dan bertubuh sasa.

Opsss yang bersiaran secara langsung setiap Selasa jam 5 petang di platform media sosial Harian Metro adalah sebuah program santai yang mengutarakan 20 soalan kepada selebriti atau orang kenamaan secara spontan.

Lima episod sudah pun bersiaran membabitkan artis terkenal tempatan iaitu Mira Filzah, Remy Ishak, Siti Sarah dan Scha Al Yahya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 7:57 PM
NEELOFA mahu memperkuatkan jenama di peringkat antarabangsa. FOTO Mahzir Mat Isa