PENASIHAT Kewangan, Chan Chya Zhuo, 24, (tengah) bersama rakannya, Nur Shamshazana Mohd Zahir, 22, (kanan) dan Noriah Madon Mashaid, 46, teruja membaca Harian Metro berwajah baharu. FOTO Sharul Hafiz Zam
Faliq Lajim
faliq.lajim@nstp.com.my


WAJAH dan pengisian baharu akhbar, Harian Metro yang tampil lebih menarik bermula hari ini menerima maklum balas positif daripada rata-rata pembeli serta pembaca setianya.

Pembaca Harian Metro yang juga jurutera awam, Mohd Nizam Mohamad Zain, 35, berkata Harian Metro memang sudah menjadi pilihannya sejak dulu lagi.

“Apabila beli surat khabar, saya akan beli Harian Metro dulu. Baru beli yang lain berikutan akhbar ini memaparkan berita yang berbeza daripada yang lain.

“Hari ini, saya dapat lihat perubahan yang sangat drastik, terutama pada muka depannya. Malah, isi kandungan serta penyampaian agak berbeza daripada sebelum ini,” katanya kepada Harian Metro.

Hari ini, lebih 30 kakitangan dari akhbar ini, termasuk sidang pengarang kanan dan pengurusan NSTP turun padang mendekati pembacanya di Pasar Pagi Datuk Keramat, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarang Kumpulan Harian Metro, Tuan Asri Tuan Hussein.


KHAI Bahar berswafoto bersama petugas Harian Metro pada promosi wajah baru Akhbar Harian Metro di perkarangan Pasar Datuk Keramat. FOTO Aswadi Alias

Ia bersempena dengan penambahbaikan Harian Metro bermula hari ini dalam usaha untuk memastikan akhbar ini terus relevan dengan penyiaran berita kemasyarakatan, penyiasatan dan pembongkaran serta saluran suara rakyat kepada pemimpin dan sebaliknya.

Penyanyi popular, Khai Bahar turut menyertai jualan terbabit dan pembaca juga berpeluang mendekati dan berswafoto dengan anak jati Kampung Padang Katong, Perlis itu.

Setiap pembelian akhbar Harian Metro di pasar terbabit, pembaca menerima nasi lemak percuma bersama teh ‘o’ ais produk Yeo’s dengan lebih 500 naskhah terjual di pasar terbabit bermula 7.30 pagi.

Peminat Khai Bahar antara yang hadir memberi sokongan kepada Harian Metro dalam jualan bagi memperkenalkan wajah baru akhbar ini.

Antara peminatnya adalah, peniaga, Isran Ismail, 49 yang sudah membeli akhbar Harian Metro sejak ia mula diterbitkan.

“Arwah ayah dulu selalu minta saya belikan Harian Metro. Jadi saya sudah terbiasa dengan berita yang dipaparkan dan masih membeli hampir setiap hari sehingga hari ini.

“Tambahan pula, saya memang meminati sisipan Rap dan juga Arena. Semakin hari semakin mantap,” katanya yang tinggal di Kemaman, Terengganu.

Sementara itu, kerani, Afiqah Adilah Khamil Yusri, 25, berkata dia datang dari Bentong, Pahang semata-mata untuk bertemu dengan Khai Bahar selain memberi sokongan kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia sangat tertarik dengan ‘masthead’ (keratan kepala akhbar) Harian Metro edisi hari ini yang ditukar kepada Harian Malaysia selain menggunakan pelbagai bahasa serta warna jalur gemilang di muka depan.


PELANGGAN setia Harian Metro menunjukkan akhbar berwajah baharu sempena sambutan Hari Malaysia ketika tinjauan di Jalan Temenggong, Banda Hilir. FOTO Rasul Azli Samad

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 4:17 PM