PENGANTIN diarak menggunakan jentera penurap jalan.
Adnan Ibrahim
am@hmetro.com.my


KLUANG: Sepasang pengantin di Taman Kasih di sini, bukan sahaja teruja apabila perjalanan mereka ke majlis persandingan diarak menggunakan jentera penurap jalan sejauh satu kilometer, semalam malah kedua-dua jentera berat itu akhirnya dijadikan hadiah perkahwinan mereka.

Menyertai perarakan itu, pasukan kompang dari Kampung Sembrong yang turut menggunakan kenderaan sama menyebabkan perarakan itu menjadi perhatian orang ramai hingga ke khemah majlis.

Lebih mengejutkan pasangan itu, Mohd Amirul Malek, 24, dan isteri, Nurhazimah Amira Hazma, 24, jentera bernilai RM180,000 setiap satu itu menjadi hadiah perkahwinan paling indah dan berharga untuk mereka.

Mohd Amirul berkata, ibu bapanyanya tidak pernah memberitahu apa-apa mengenai perjalanan majlis persandingan itu, cuma sekadar memaklumkan sesuatu luar biasa disediakan pada majlis persandingannya yang juga anak bongsu daripada empat beradik.

“Saya anak bongsu daripada empat beradik manakala isteri juga anak bongsu daripada tiga beradik dan mungkin ini rezeki kami kerana mendapat hadiah semahal ini.

“Kami berdua cukup teruja dengan apa yang dilakukan ibu bapa dan hadiah ini akan dijadikan sebagai aset berharga keluarga walaupun kami bercadang mempunyai kerjaya dalam bidang masing-masing dan bukan menjadi kontraktor pada masa akan datang,” katanya.

Mohd Amirul berkata, sebelum majlis bersanding di rumahnya mereka melangsungkan pernikahan di rumah keluarga isterinya di Raub, Pahang pada 31 Ogos lalu.

Sementara itu, Malek Sawin, 58, bersama isteri, Haslina Wagiman, 55, melahirkan rasa syukur apabila hasrat untuk menghadiahkan jentera berkenaan tertunai apabila tidak mendapat bantahan daripada anak bongsu mereka.

Menurutnya, sebelum ini, anak ketiga, Mohd Taufik diberikan hadiah lori pengangkut jentera berat sempena majlis perkahwinannya pada 2014, jadi tidak tidak adil jika perkara sama tidak dilakukan kepada anak bongsu mereka.

“Hakikatnya, pemberian hadiah ini bukan untuk menunjuk-nunjuk, sebaliknya lebih kepada penyerahan tanggungjawab kepada mereka untuk meneruskan empayar perusahaan dibina sejak 25 tahun lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 5:40 AM