ELLA

Ratu rock tanah air, Ella menyarankan artis baharu menghasilkan karya berkualiti sekiranya mahu kekal relevan dalam industri hiburan tanah air.

Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin berkata, artis baharu perlu memberi tumpuan penuh selain bersikap jujur bagi menambat hati peminat.

Katanya, kebanyakan penyanyi era 90-an mementingkan kejujuran dengan berlatih bersungguh-sungguh bagi menghiburkan orang ramai.

“Mengenang zaman lalu, kami mencapai tahap piawaian yang boleh dibanggakan. Tonik kejayaan itu adalah tidak berkira mengenai masa mahupun bayaran,” katanya.

Memulakan karier bersama kumpulan The Boys pada 1985, mereka berjaya mencipta populariti dalam masa singkat sekali gus meletakkan nama setaraf Search, Lefthanded, Sofea dan Rusty Blade.

Bagi Ella, apa yang penting penyanyi mestilah ikhlas dan sabar kerana ia kunci kejayaan.

“Sebelum meraih populariti, kami berlatih lapan jam sehari selama dua bulan. Ia bagi memastikan konsert dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya kepada Rap.

Dalam pada itu Ella menzahirkan penghargaan buat komposer terdahulu yang sememangnya berbakat dalam menghasilkan lagu.

“Karya kami masih diingati hingga kini kerana komposer dan penulis lirik menghasilkan lagu terus daripada hati. Siapa yang mendengar karya kami pasti jiwanya akan tersentuh,” katanya.

Biarpun begitu, Ella mengakui artis era millenium tidak kurang hebatnya tetapi mereka memerlukan masa untuk menyerlah.

“Oleh itu, artis berpengalaman perlu memainkan peranan menegur dan mendidik artis muda. Jika diamati, industri seni tanah air tidak sebesar mana, berilah peluang kepada artis baharu menonjolkan bakat mereka,” katanya.

Menurut Ella, artis sedia ada kini penyambung legasi dan diharapkan terus bersinar dan menghiburkan peminat.

“Saya berharap artis yang baru bertapak terus sabar dan kuatkan usaha. Mereka ada masa depan yang cerah jika bersungguh-sungguh.

“Moga suatu hari nanti nama mereka akan terus diingati dan menjadi sebutan di sebalik kerjaya pilihan ini,” katanya.

Jika mahu menjadi penyanyi yang bagus, Ella meminta artis baharu sentiasa memperbaiki diri dan menilai semula setiap karya dihasilkan.

“Nilai semula sama ada ia memuaskan hati peminat atau sebaliknya. Apa-apa pun, sentiasa percaya kepada diri sendiri, kenali bakat dan bersangka baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 5:25 AM