KEADAAN kenderaan yang terbabit kemalangan di Taman Mahsuri. FOTO Ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


“BUNYI dentuman sangat kuat dan ketika itu saya nampak mangsa yang berada dalam kereta Proton Wira merintih sakit sebelum diam,” kata seorang saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Amir, 40-an.

Menurut Amir, ketika kejadian orang ramai ketika itu cuba hendak membantu mengeluarkan dua mangsa dalam kereta Proton Wira itu, namun mereka dipercayai tersepit menyebabkan terpaksa menunggu bantuan Bomba dan Penyelamat.

Kemalangan itu berlaku 8.30 pagi membabitkan van dan Proton Wira di Jalan Sungai Limau Dalam Hadapan Taman Mahsyuri, Yan, pagi tadi.

Kejadian itu menyebabkan penumpang kereta Proton Wira terbabit, Azizah Hashim, 63, meninggal di tempat kejadian, manakala pemandu kereta itu, Darus@ Che Rose Long, 82, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.

Menurut Amir, ketika itu dia nampak seorang wanita warga emas berusia sekitar 60-an sudah kaku, manakala pemandunya agak parah namun masih bernyawa ketika itu.

“Ada yang meminta pemandu kereta Proton Wira itu bersabar dan mengucap.

“Namun kedua-dua mangsa dalam kereta itu berlumuran darah manakala pemandu van pula hanya cedera biasa,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Berikutan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan tiba di lokasi untuk mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu pada 8.42 pagi membabitkan sebuah van dan kereta berkenaan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu van itu, Shaharuddin Ahmad, 41, dipercayai dalam perjalanan dari Pekan Sungai Yan menghala ke Sungai Limau Dalam, dekat Yan.

“Bagaimanapun, setibanya di lokasi kejadian, secara tiba-tiba datang kereta Proton Wira dari arah depan membelok ke kanan jalan masuk simpang Taman Mahsyuri, Yan.

“Disebabkan jarak terlalu dekat, pemandu van itu tidak sempat membrek lalu berlanggar dengan kereta Proton Wira berkenaan,” katanya.

Shahnaz Akhtar berkata, akibat kemalangan itu, pemandu van terbabit mengalami cedera ringan dan luka di kaki, manakala penumpang kereta Proton Wira itu meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, pemandu kereta itu dihantar ke HSB untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HSB untuk dibedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 6:09 PM