NORAZLI mencuri perhatian warganet selepas rakaman video dia di majlis perkahwinan rakannya turut memaparkan tetamu di atas pelamin yang mempunyai wajah seiras dengannya. FOTO ihsan Norazli Mohammad Yusof
Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my


“KAMI tidak kenal satu sama lain cuma kebetulan, warna pakaian dan penampilanya seperti saya hingga ramai menyangka kami adalah adik-beradik kembar,” kata Norazli Mohammad Yusof, 29.

Norazli mencuri perhatian warganet selepas video dia di majlis perkahwinan rakannya turut menunjukkan seorang lagi tetamu mempunyai wajah seiras dengannya.

Menerusi rakaman video berdurasi 12 saat itu, Norazli dan rakannya dilihat ketawa selepas menyedari kehadiran tetamu yang ketika itu berada atas pelamin itu.

Sehingga kini, video berkenan meraih 950,000 tontonan, 70,500 ulang ciap dan 53,000 tanda suka sejak dimuat naik pada petang Ahad lalu.

Bercerita lanjut, Norazli berkata, insiden melucukan itu berlaku ketika dia sedang beratur untuk mengambil gambar bersama pasangan pengantin yang juga rakannya ketika majlis persandingan di Ijok, Kuala Selangor.

“Video itu dirakam secara spontan oleh seorang rakan saya, Amir Zulfadhli Zulkifli ketika kami sedang menunggu giliran untuk bergambar dengan pasangan pengantin.

“Kebetulan, seorang lelaki yang sedang bergambar dengan pengantin di atas pelamin memakai baju berwarna merah, kaca mata dan berkepala botak seperti saya.

“Jadi, persamaan itu membuatkan saya dan rakan yang hadir bersama ke majlis itu tergelak. Namun, saya dan lelaki berkenaan tidak mengenali satu sama lain tetapi dia adalah rakan kepada Amir yang mengambil video berkenaan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Norazli, dia tahu video berkenaan dimuat naik rakannya di Facebook tetapi tidak menyangka ia meraih tontonan ramai hingga tular di laman sosial.

Lebih mengejutkannya apabila kisahnya turut dikongsi beberapa portal media antarabangsa sejak beberapa hari yang lalu.

“Sebelum ini, saya pernah juga berjumpa dengan lelaki botak yang memakai kaca mata cuma bezanya pertemuan itu tidak tular di laman sosial.

“Kiranya, ini kali pertama kisah saya tular dan rata-rata warganet memberi komen positif serta menyamakan kami berdua dengan Upin dan Ipin.

“Namun, ada juga mempersoalkan bagaimana saya boleh tular kerana bagi mereka, wajah saya tidak seberapa.

“Saya tidak berkecil hati kerana sedar tidak semua orang akan suka walaupun ramai yang terhibur menontonnya ,” katanya yang bakal mendirikan rumah tangga pada Oktober depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 11:10 PM