MUHAMAD Aqil Asyraaf dan Ummi Nadhirah bertemu jodoh selepas berkenalan di Insta Story.
Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my


“SAYA tidak pernah merancang untuk mendirikan rumah tangga di usia muda, tetapi akur dengan jodoh ketentuan Allah SWT,” kata Muhamad Aqil Asyraaf Md Risman.

Muhamad Aqil, 20, mencuri perhatian warganet selepas memuat naik ciapan tangkap layar perbualannya dengan isteri, Ummi Nadhirah Zaili Ikram, 20, ketika awal perkenalan dan gambar mereka selepas selesai majlis akad nikah.

Muhammad Aqil berkata, dia tidak sangka ciapannya itu menjadi tular kerana sekadar berkongsi detik perkenalan tidak sengaja dengan pasangannya.

“Sebenarnya, kami pernah belajar di sekolah rendah sama dan mengikuti satu sama lain di Instagram, tetapi tidak pernah bertegur sapa atau berhubung.

“Perkenalan kami berlaku secara tidak sengaja dan bermula selepas isteri membalas hantaran yang saya muat naik di ruangan ‘Insta Story’ pada November lalu.

“Pada waktu itu, saya baru selesai menonton perlawanan bola sepak di Stadium Nasional, Bukit Jalil dan mengajak sesiapa yang ada di kawasan berhampiran untuk keluar bersama.

“Tak sangka pula, isteri membalas dan menawarkan diri untuk keluar bersama. Sejak malam itu, kami terus berhubung sebelum menjalin hubungan dan akhirnya sepakat mendirikan rumah tangga pada Sabtu lalu,” katanya.


MUHAMAD Aqil Asyraaf dan Ummi Nadhirah bergambar dengan keluarga masing-masing selepas selesai majlis akad nikah, Sabtu lalu.

Menurut Muhamad Aqil, rata-rata komen diterima adalah positif, namun ada mempersoalkan keputusannya berkahwin dengan Ummi disebabkan tempoh perkenalan mereka yang singkat.

Bagaimanapun, anak sulung daripada dua beradik itu tidak mengambil serius dengan usikan nakal diterima kerana bilangannya sedikit berbanding mereka yang mendoakan kebahagiaan mereka.

“Jujurnya, saya tidak pernah jangka akan bertemu jodoh di situ (Insta Story) kerana kami tidak pernah bersembang atau rapat sebelum itu.

“Namun, itulah dinamakan jodoh. Lagipun, keluarga kedua-dua pihak merestui hubungan kami jadi lebih baik diakhiri dengan ikatan sah walaupun masing-masing masih menuntut di universiti.

“Bagi saya, usia bukan penghalang cuma kami perlu menyesuaikan diri dengan hubungan jarak jauh kerana saya saya menuntut di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Melaka manakala isteri di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 10:03 PM