MANGSA diberi rawatan awal. FOTO Ihsan Pembaca
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@nstp.com.my


AKIBAT cemburu, lelaki warga Sri Lanka parah selepas kemaluan dan lehernya dikelar dengan pisau oleh isteri di Jelapang, Meru, Ipoh, malam tadi.

Pada kejadian 12.36 tengah malam itu, suspek, wanita Sri Lanka berusia 48 tahun terbabit dipercayai melakukan perbuatan itu ketika mangsa sedang tidur di bilik tidur di rumah sewa mereka.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohd Nordin Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada orang awam sebelum sepasukan polis dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, siasatan awal polis mendapati suspek dan mangsa sebelum itu berselisih faham.

Beliau berkata, suspek kemudian mengelar mangsa yang berusia 40 tahun dengan pisau di bahagian kemaluan dan leher lelaki itu.

“Isterinya melarikan diri. Mangsa kemudian meminta pertolongan orang awam sebelum dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk menerima rawatan.

“Bagaimanapun, keadaannya dilaporkan stabil ketika ini,” katanya.

Mohd Nordin berkata, polis sudah menemui pisau yang digunakan suspek di lokasi kejadian.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga.

“Siasatan juga mendapati pasangan itu memasuki negara ini secara sah sebagai pelancong dan hidup secara berpindah-pindah dari satu negeri ke satu negeri yang lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 12:36 PM