Aysar yang menghidap penyakit hati kronik memerlukan bantuan kewangan untuk menjalani pembedahan 23 Oktober ini. FOTO Ihsan Muhammad Nassar Sanusi
Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my


“JUJURNYA saya tak gementar untuk menjalani pembedahan itu cuma runsing memikirkan cara mendapatkan wang memandangkan masa semakin suntuk,” kata Muhammad Nassar Sanusi, 29.

Muhammad Nassar adalah bapa kepada bayi berusia enam bulan, Aysar Nasri yang menghidap Biliary Atresia atau penyakit hati kronik.

Bapa dua anak itu sedia mendermakan hati untuk anak bongsunya tetapi berdepan masalah kerana perlu mencari wang RM120,000 bagi membolehkan pembedahan pada 23 Oktober ini diteruskan.

Bercerita lanjut, Muhammad Nassar berkata, penyakit anaknya itu dikesan 16 Mei lalu iaitu ketika Aysar berusia dua bulan hasil pemeriksaan dilakukan pakar.

“Aysar dilahirkan normal tetapi badannya menjadi kuning dan selepas dirujuk ke hospital doktor mengesahkannya menghidap Biliary Atresia.

“Dua hari kemudian, Aysar menjalani pembedahan dan saya sangka keadaannya kembali normal tetapi dia diserang demam diikuti jangkitan kuman pada hati dua minggu kemudian yang menyebabkannya ditahan di hospital.

“Sejak itu, Aysar kerap keluar masuk hospital dan kini dia dirawat di wad kanak-kanak Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas terkena jangkitan sama.

“Sudah lapan hari Aysar dirawat di situ dengan saluran tiub disambung pada hidung dan hospital juga ibarat rumah kedua buatnya,” katanya ketika dihubungi.

Muhammad Nassar bersama isteri dan dua anak mereka di hospital. FOTO Ihsan Muhammad Nassar Sanusi

Menurut Muhammad Nassar, pembedahan yang akan dijalankan itu bukan jaminan untuk Aysar sembuh sepenuhnya kerana ada kemungkinan anaknya mengalami komplikasi kesan daripada pemindahan hati atau risiko kehilangan nyawa.

Namun Muhammad Nassar dan isteri, Nor Asyifa Mohd Fauzi, 29, sudah bersiap sedia dan tidak sesekali berputus asa untuk memastikan Aysar mendapat peluang kedua untuk hidup.

“Sebelum ini, saya hanya mampu bersimpati setiap kali membaca kisah ibu bapa lain mempunyai anak dilahirkan dengan penyakit dan lain-lain lagi.

“Bila jadi pada diri sendiri, baru saya sedar betapa beratnya untuk menanggungnya dan mulanya agak susah untuk menerima hakikat itu.

“Malah isteri saya kerap menangis kerana sedih melihat Aysar menanggung derita akibat penyakit berkenaan tetapi kini kami berdua reda dengan ujian ini.

“Sehingga kini wang terkumpul RM40,000 dan berharap dana diperlukan cukup sebelum tarikh pembedahan,” katanya yang bekerja sebagai Eksekutif Kewangan Ibu Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Jalan Raja Laut di sini.

Orang ramai yang berhasrat membantu keluarga ini boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 514150454871 atas nama Muhammad Nassar Sanusi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 10:45 PM