Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


MAYAT ibu tunggal ditemui dibungkus dengan selimut tebal dan ditutup timbunan bantal dalam bilik di rumah sewanya di sebuah pangsapuri di Prima Damansara, Petaling Jaya hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 5.30 petang tadi.

“Berdasarkan maklumat, mayat mangsa ditemui bapanya berusia 61 tahun ketika datang ke rumah sewa anaknya itu untuk melawatnya.

“Sebaik memasuki rumah berkenaan, lelaki itu terhidu bau busuk yang membawa kepada penemuan mayat mangsa dibungkus dengan selimut tebal dan ditutup timbunan bantal sebelum dia menghubungi polis petang tadi,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Mohd Zani berkata, siasatan mengesahkan identiti mangsa ialah Nor Hidayah Ahmad, 30, yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat pengiklanan.

“Susulan itu, kami sedang mengesan bekas suami mangsa, Zulkifli Joned, 40, berasal dari Johol, Negeri Sembilan yang bekerja sebagai operator sebuah kilang bagi membantu siasatan.

“Difahamkan mangsa sudah bercerai dengan lelaki itu sejak beberapa bulan lalu.

“Berdasarkan keadaan mayat mangsa, dia dipercayai sudah meninggal dunia dalam tempoh 24 jam. Tiada senjata pembunuhan ditemui di lokasi.

“Difahamkan ketika kejadian, anak lelaki mangsa berusia enam tahun berada di tadika berhampiran sebelum dijemput datuknya (bapa mangsa),” katanya.


Polis sedang mengesan bekas suami mangsa bagi membantu siasatan. FOTO Ihsan PDRM

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

“Motif kejadian dan punca kematian mangsa masih dalam siasatan. “Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil di balai polis berhampiran dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 10:42 PM
Polis mengusung mayat Nor Hidayah yang ditemui di rumah sewanya hari ini. FOTO Aswadi Alias