WANITA yang ditahan kerana mencuri di pasar raya di Seri Iskandar. FOTO Noor Hidayah Tanzizi.
Oleh Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my


“SAYA mohon maaf dan akui perbuatan ini salah, namun saya lakukan kerana terlalu kasihankan anak sulung yang teringin makan daging masak merah,” kata wanita yang ditahan kerana mencuri di pasar raya di Seri Iskandar, semalam.

Wanita berusia 31 tahun itu ditangkap kerana mencuri sebungkus pek isian semula krim mandian, serbuk lada hitam, krim muka, dua bungkusan daging diperap dan satu paket kiub tulang ayam.

Semua barangan itu disembunyikan dalam begnya sebelum ditahan pengawal keselamatan ketika mahu melepasi kaunter pembayaran premis.

Wanita itu mendakwa, pada malam sebelum kejadian anak sulungnya yang berusia 10 tahun memberitahu teringin makan daging masak merah dan permintaan itu sudah diulang sejak beberapa hari lalu.

“Sebelum itu, anak tanya saya ada wang ke, sebab dia nak makan daging masak merah dan saya kata ada tetapi saya tak beli kerana dalam dompet hanya ada RM24 sahaja.

“Pada 12.40 tengah hari semalam, selepas mengambil anak kedua dari tadika, saya ke pasar raya itu, saya terdesak dan di fikiran hanya mahu menyediakan daging masak merah buat anak.

“Saya ditahan pengawal keselamatan premis itu dan saya merayu minta dilepaskan, namun tidak diendahkan kerana mereka ikut prosedur,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Ibu tiga anak itu berkata, pengalaman berada di lokap semalaman sangat menginsafkan dan dia sangat bersyukur kerana dibebaskan.

Menurutnya, dia juga dalam proses bercerai selepas digantung tak bertali oleh suaminya sejak hampir setahun lalu dan hanya memperoleh RM600 sebulan hasil jadi pengasuh.

“Dengan wang itu saya tanggung semuanya dan kadang-kadang tak cukup, malah yuran tadika anak juga selalu tertangguh, bayaran kelas mengaji anak sudah sembilan bulan tak berbayar. Tetapi nasib baik ustaz memahami.

“Sebelum ini saya ada meminta bantuan Kak Ida (aktivis sosial, Rohaidatul Asma Jusoh) atau adik jika tak cukup wang, cuma kali ini saya tak fikir panjang dan sudah tebal muka mahu meminjam lagi,” katanya yang tinggal di rumah sewa yang dibayar adik lelakinya di Seri Iskandar.

Dia mengakui kejadian itu sangat menginsafkan dan memberi pengajaran kepadanya serta berharap orang lain tidak terikut dengan tindakan diambilnya tanpa berfikir panjang.

Sementara itu, Rohaidatul Asma berkata, dia dihubungi wanita terbabit pada 1.05 tengah hari semalam memaklumkan kejadian itu untuk meminta bantuan.

“Saya terkejut apabila mendapat tahu wanita yang kami bantu ditahan. Namun apapun, kami bersyukur dia tidak didakwa dan akan terus membantunya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 5:00 PM