TUANKU Zara berkenan berangkat menziarahi Nour Shafinar Harun. FOTO Effendy Rashid
Shaarani Ismail
shaarani@nstp.com.my


BALU Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya, Nour Shafinar Harun, 31, terkilan kerana tidak dapat berkongsi berita gembira kini mengandung anak kedua hasil perkongsian hidup mereka.

Nour Shafinar berkata, pada mulanya dia juga tidak menyangka mengandung kerana menganggap keadaan fizikalnya keletihan disebabkan apa yang dihadapi selain mengamalkan diet.

“Dua hari (selepas) arwah tiada, ada kawan yang kenal saya bertanya, mengandung ke?

“Saya terkejut, betul ke saya mengandung, sebab dalam sebulan lebih kebelakangan ini, saya tidak buat pemeriksaan, saya rasa biasa saja.

“Tetapi tengok keadaan badan memang rasa naik, berat badan naik, makan pun tak berapa banyak sebab sedang diet, sampailah doktor dan kaunselor datang jumpa saya dan dia bertanya kenapa badan berisi dan kemungkinan mengandung,” katanya.

Nour Shafinar berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, yang berkenan ke kediaman ibunya di Taman Perpaduan Ulu Kinta, Ipoh, hari ini.

Menurutnya, selepas menggunakan kit ujian kehamilan, dia memang disahkan mengandung.

“Saya kuatkan hati, buat pemeriksaan guna alat ujian kehamilan, saya tengok (positif), Alhamdulillah saya mengandung, cuma saya sedih, arwah tak sempat tahu saya mengandung,” katanya.

Ditanya berapa usia kandungannya, Nour Shafinar berkata, dia tidak pasti kerana belum membuat pemeriksaan doktor.

Katanya, ditambah dengan keadaan yang dihadapinya ketika ini, dia bimbang kandungannya terjejas.

“Saya belum buat pemeriksaan lengkap doktor kerana saya tidak tahu keadaan semasa bagaimana,” katanya.

Mohd Zahir, 36, pegawai komando daripada 11 Rejimen Gerak Khas, meninggal dunia pada 4 September lalu selepas terkena tembakan ketika melakukan aksi demonstrasi sempena pelancaran Divisyen Kelima dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 3:30 PM