HAKIM berkenaan ketika hadir di mahkamah, hari ini. FOTO Abdullah Yusof
Muhammad Apendy Issahak
apendy@nstp.com.my


SEORANG hakim syarie di Ipoh, direman selama lima hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan kes menerima rasuah bagi membebaskan seorang Inspektor polis yang ditahan kerana berkhalwat.

Turut direman, seorang anggota polis yang dipercayai bersubahat dalam kes berkenaan.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar, N Mageswaran.

Terdahulu, hakim lelaki berusia 37 tahun itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak di sebuah kedai makan di Desa Chemor, dekat Ipoh, 11.30 malam tadi.

Lans Koperal berusia 30 tahun pula diberkas di tempat kerjanya di Bukit Merah, Ipoh, 1.45 pagi tadi.

Menurut Peguam Dayang Nor Emilia Azman Shah, yang mewakili hakim berkenaan, anak guamnya disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2019.

“Hakim itu ditahan bagi membantu siasatan membabitkan kes menerima wang suapan sebanyak RM4,000 bagi membebaskan seorang inspektor polis yang ditahan kerana berkhalwat.

“Dia ditahan oleh pegawai SPRM malam tadi di sebuah kedai makan bersama sejumlah wang tunai,” katanya.

Sementara itu, Peguam B Vivien Mitchiel yang mewakili anggota polis berkenaan pula berkata, anak guamnya direman kerana dipercayai bersubahat dengan hakim terbabit.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Penolong Pendaftar, N Mageswaran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 2:54 PM
Skip this ad x