PEMANDANGAN Kuala Lumpur (kanan) yang diselubungi jerebu tebal di ibu kota, tengah hari semalam.
Agensi

MENTERI Lingkungan Hidup dan Kehutanan Indonesia, Siti Nurbaya kelmarin menegaskan kebakaran hutan di negara itu bukan punca jerebu di negara jiran seperti Malaysia dan Singapura.

Siti Nurbaya berkata, tiada lagi asap rentas sempadan dikesan selepas pihak berkuasa Indonesia meneruskan usaha memadamkan kebakaran hutan dan belukar.

“Langkah memadamkan kebakaran hutan dan belukar diteruskan di semua titik panas yang dikesan.

“Titik panas pada Ahad lalu juga dilihat menurun berbanding yang direkodkan pada Rabu lalu,” katanya dalam satu kenyataan yang dipetik Antara News, kelmarin.

Sehingga semalam, sebanyak 1,278 titik panas dikesan satelit di Sumatera.

Sementara itu, Badan Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) tidak mengesan asap kebakaran hutan di Sumatera melintasi sempadan ke negara jiran.

Jurucakap BNPB, Agus Wibowo memberitahu, terdapat banyak titik panas di kawasan sempadan di Kalimantan Barat dan wilayah Sarawak di Malaysia.

“Kemungkinan besar jerebu berlaku akibat asap lintas sempadan dari kedua-dua wilayah berkenaan,” katanya.

Daripada data Sistem Pemantau Kebakaran Hutan Indonesia sebanyak 247 titik panas dikesan di wilayah Kalimantan semalam diikuti Papua sebanyak 48, Jambi 40 dan Sumatera Selatan 22.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 7:00 AM