David (tengah) bersama Anna dan anak mereka bergambar selepas selesai mengutip sampah di Batu Feringgi baru-baru ini. FOTO Ihsan David Paaske
Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my


“SAYA suka melihat persekitaran bersih dan akan teruskan aktiviti mengutip sampah di setiap negara yang dilawati,” kata David Paaske, 27.

David adalah pelancong kelahiran Denmark yang mencuri perhatian warganet kerana kesungguhannya membersihkan sampah ketika bercuti di negara ini.

Rata-rata warganet memuji sikap David yang prihatin dalam menjaga alam sekitar walaupun ketika sedang melancong.

Bercerita lanjut, David berkata, gambar yang tular di laman sosial itu diambil selepas selesai mengutip sampah dan sisa buangan di sebuah kawasan taman permainan di Batu Feringgi, Pulau Pinang.

Menurut David, aktiviti itu dilakukan bersama pasangannya, Anna dengan ditemani anak mereka, Asger yang berusia dua tahun.

“Pada waktu itu, saya dan Anna (pasangan) berada di taman permainan bagi membawa anak kami beriadah di situ.

“Namun kawasan itu dipenuhi sampah sarap jadi saya gunakan kesempatan itu untuk mengajak Anna dan Asger mengutip sisa buangan yang ada.

“Selain membersihkan kawasan itu, saya dan Anna lakukannya dengan niat mendidik Asger menjaga kebersihan walau di mana saja berada,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.


Asger dididik mengutip sampah bersama ibu bapa mereka. FOTO Ihsan David Paaske

David berkata, bukan niatnya untuk meraih perhatian sebaliknya dia melakukannya kerana mahu persekitaran yang kotor kembali bersih seperti sediakala.

David yang memulakan misi percutian ke pelbagai negara sejak dua bulan lalu juga bercadang menjadikannya sebagai aktiviti wajib setiap kali berkunjung ke sesuatu tempat.

“Gambar itu dimuat naik di Instagram (IG) enam hari lalu dan tidak tahu ia tular di laman sosial tetapi sedar mengenai perkara itu selepas mendapat banyak tanda suka di Reddit (platform laman sosial).

“Terima kasih kepada yang menghargai usaha kami dan sebenarnya aktiviti di Batu Feringgi itu bukan kali pertama dilakukan sebaliknya kami pernah melakukan perkara sama ketika bercuti di India.

“Kini saya dan keluarga berada di Vietnam dan akan melakukan aktiviti sama sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi lain,” katanya yang bakal kembali ke Malaysia Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 September 2019 @ 10:30 PM