PENGUSAHA perahu tambang memakai topeng hidung dan mulut ketika beroperasi di Sungai Sarawak.
PENUMPANG perahu tambang turut memakai topeng hidung dan mulut berikutan kualiti udara tidak sihat di Sungai Sarawak.
Amir Abd Hamid
amir_hamid@hmetro.com.my


TIGA lokasi di Sarawak mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat iaitu rekod tertinggi IPU, semalam berbanding 65 Stesen Pengawasan Udara Automatik lain seluruh negara.

Setakat jam 4 petang semalam, berdasarkan bacaan yang dipaparkan laman web http://apims.doe.gov.my, Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) mendapati kawasan mengalami kesan teruk fenomena jerebu ialah Sri Aman yang mencatat IPU 242 diikuti Kuching dengan catatan IPU 224 dan Samarahan (IPU 201).

Sebanyak enam Stesen Pengawasan Udara Automatik di negeri itu turut menunjukkan IPU tidak sihat iaitu masing-masing stesen Sibu (IPU 190), Sarikei (IPU 185), Miri (IPU 160), ILP Miri (IPU 144), SK Kuala Baram 2 (IPU 121) dan Mukah (IPU 116).

Empat lagi stesen di Sarawak mencatatkan IPU sederhana iaitu Bintulu (IPU 94), Limbang (IPU 82), Kapit (IPU 78) dan Samalaju (IPU 77).

Semua tujuh stesen di Sabah mencatatkan bacaan IPU sederhana iaitu Labuan (IPU 82), Kimanis (IPU 72), Keningau (IPU 67), Kota Kinabalu (IPU 72), Politeknik Kota Kinabalu (IPU 80), Sandakan (IPU 58) dan Tawau (IPU 55).

Sementara itu di Semenanjung Malaysia, hanya stesen Johan Setia, Selangor yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat iaitu IPU 129 manakala stesen lain mencatatkan IPU sederhana.

Untuk rekod, bacaan IPU antara 0 hingga 50 adalah dikategorikan paras baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Maklumat cuaca terkini turut dipaparkan menerusi laman web MetMalaysia atau aplikasi myCuaca dan media sosial MetMalaysia.


PELANCONG dari Itali melawat Tebingan Kuching walaupun kualiti udara di Bandaraya Kuching pada peringkat tidak sihat.

Tiada stesen catat kualiti udara baik

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang direkodkan sehingga 12 tengah hari semalam menunjukkan tiada stesen mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik, 58 stesen pada status kualiti udara tahap sederhana, manakala lapan stesen pada tahap tidak sihat.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam satu kenyataan berkata, lapan stesen itu adalah tujuh di Sarawak iaitu Samarahan (IPU 200), Sibu (185), Mukah (177), Miri (155), ILP Miri (142), Kuala Baram (116) dan Bintulu (110), manakala satu stesen di Selangor iaitu Johan Setia dengan bacaan IPU 124.

Menurutnya, dua stesen mencatatkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat di Sarawak iaitu Sri Aman (238) dan Kuching (223).

“Kebakaran hutan yang berlaku di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia, masih menyebabkan jerebu merentas sempadan dan memberi kesan kepada peningkatan bacaan IPU di semua kawasan di sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia dan bahagian barat Sarawak.

“Kebakaran belukar bagi tujuan pertanian di Jalan 9, Johan Setia, Klang memberi kesan kepada peningkatan bacaan IPU di stesen Johan Setia, Klang dan jerebu setempat di Bandar Putera 2, Klang,” katanya.

Menurut JAS, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang memadamkan kebakaran itu, manakala JAS Selangor sedang berusaha mencari pemilik tanah untuk tindakan penguatkuasaan.

Katanya, tindakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian, turut dipertingkatkan ke kawasan berpotensi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka serta memantau bacaan IPU dari masa ke semasa.

Menurutnya, berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura kelmarin, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20 menunjukkan 116 titik panas dikesan
di Sumatera, Indonesia.

“Sementara itu, 646 titik panas dikesan di Kalimantan, Indonesia, satu titik panas di Brunei dan 52 titik panas di dalam negara iaitu di Sarawak (40) dan enam titik panas di Sabah dan Johor,” katanya.


MATAHARI kelihatan berwarna kemerahan akibat jerebu yang dirakam berhampiran Jambatan Darul Hana di Tebingan Sungai Kuching, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 September 2019 @ 6:50 AM