Muhammad Syakir membaiki kereta pelanggannya untuk mencari duit poket bagi menampung kos pengajiannya. Foto Ihsan Muhammad Syakir Muhamad Abu Bakar
Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my


“SAYA lakukan kerja sambilan bagi mencari duit poket selain membantu orang yang berada dalam kesusahan,” kata Muhammad Syakir Muhamad Abu Bakar, 19.

Muhammad Syakir adalah penuntut semester dua Diploma Automotif Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di Kampus Malaysia France Institute di Bangi yang memanfaatkan kemahirannya membaiki kereta bagi mencari pendapatan sampingan untuk menampung kos sara hidup sepanjang pengajian.

Menurut Muhammad Syakir, khidmat ‘bengkel bergerak’ itu ditawarkannya sejak menuntut di semester pertama dan dilakukan berbekalkan pengalaman bekerja sebagai mekanik di bengkel abangnya, Muhammad Afif, 22, serta ilmu dipelajari di kampus.

“Percubaan pertama saya adalah membaiki motosikal ketika berusia 16 tahun dan daripada situ, timbul minat untuk mendalami lagi kemahiran itu dengan bekerja di bengkel milik abang selepas tamat persekolahan.

“Walaupun tidak bekerja lama di situ, pengalaman ditimba amat berguna dan memberi idea untuk mencari duit poket dengan menawarkan khidmat membaiki kereta.

“Khidmat itu hanya ditawarkan selepas tamat kuliah dan setakat ini, saya dapat membahagikan masa dengan baik walaupun turut melakukan kerja sambilan sebagai mekanik di sebuah bengkel di Bangi,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bercerita lanjut, Muhammad Syakir berkata, buat masa ini khidmat itu hanya ditawarkan untuk pemilik kenderaan di Bangi dan sekitarnya iaitu Kajang, Serdang, Balakong, Seri Kembangan dan Putrajaya.

Menurut Muhammad Syakir, dia tidak menetapkan waktu perkhidmatan sebaliknya sedia membantu mereka yang memerlukan walaupun pada tengah malam atau awal pagi.

“Saya bergerak ke rumah pelanggan menaiki motosikal dengan membawa beberapa alat ganti asas seperti penapis minyak (oil filter), penapis udara (air filter) dan minyak enjin.

“Kebiasaannya, kerja baik pulih dilakukan di rumah pelanggan saja melainkan kerosakan itu serius hingga perlu dihantar ke bengkel sekali gus dapat membantu menjimatkan kos mereka.

“Saya tidak mempromosikan perkhidmatan ini secara meluas, sebaliknya ia tersebar dari mulut ke mulut dan bersyukur kerana ramai mula mempercayai kebolehan saya.

“Dalam sebulan, saya dapat meraih pendapatan sehingga RM1,500 dan sedikit-sebanyak membantu saya menampung perbelanjaan di kampus tanpa terlalu bergantung dengan bantuan pinjaman pendidikan atau mengharap duit belanja daripada keluarga,” katanya yang juga anak keempat daripada tujuh beradik.

Di sebalik kepuasan mencari duit poket, Muhammad Syakir mengakui tidak dapat lari daripada berdepan dengan pelanggan yang enggan menjelaskan bayaran selepas kereta siap dibaiki.

Bagaimanapun, pengalaman itu tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan perkhidmatan itu sekali gus membantu mereka yang memerlukan.

“Memang ada segelintir pelanggan cuba memberi alasan kerana tidak mahu membayar tetapi saya rujuk kepada abang dan individu lebih berpengalaman dalam mengendalikan situasi itu.

“Saya anggap itu sebagai asam garam dalam pekerjaan ini dan sehingga kini, saya ikut pesanan abang serta pensyarah untuk berhenti setiap kali ternampak mereka yang mengalami kerosakan kereta tidak kira di jalan raya atau lebuh raya.

“Sekalipun tidak dapat membantu sepenuhnya, saya berasa puas kerana dapat berkongsi apa yang saya tahu dengan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Syakir turut berterima kasih kepada rakannya, Mohammad Arif Yahya, 19, yang berkongsi kebolehannya di Twitter.

“Saya tidak tahu mengenai ciapan rakan saya itu hingga ramai yang menghubungi untuk mendapatkan perkhidmatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 September 2019 @ 9:30 PM