Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


PIHAK pendakwaan yang mengendalikan kes Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund) Nazrin Hassan, akan membuktikan mangsa meninggal dunia kerana dibunuh dan bukannya disebabkan kebakaran di bilik tidur utama kediamannya di Mutiara Homes, Petaling Jaya, dua tahun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran dalam ucapan pembukaan kes pembunuhan berprofil tinggi itu berkata, pendakwaan akan membuktikan Samirah dan dua remaja lelaki yang masing-masing berusia 17 dan 14 tahun itu mempunyai niat bersama untuk membunuh Nazrin.

“Pendakwaan akan membuktikan bahawa mangsa dibunuh antara jam 11.30 malam pada 13 Jun 2018 dan 4 pagi pada 14 Jun 2018 di bilik tidur utama kediamannya di Mutiara Homes.

“Bagi mengaitkan kesemua tertuduh membunuh mangsa, pendakwaan akan bergantung kepada keterangan langsung, ikut keadaan, pakar dan dokumen,” katanya.

Raja Rozela berkata, sebelum Nazrin meninggal dunia, dia tinggal bersama Samirah yang juga tertuduh pertama, dua lagi tertuduh juvana, dua anak kecil dan pembantu rumah bernama Eka Wahyu Lestari di rumah berkenaan.

Katanya, ketika kejadian 12.30 tengah hari pada 14 Jun 2018, bomba menerima maklumat kebakaran di bilik tidur utama tingkat dua rumah Nazrin itu sebelum menemukan mayatnya dalam keadaan terbaring atas lantai.

“Hasil bedah siasat mangsa yang dilakukan Hospital Kuala Lumpur (HKL) mendapati disebabkan komplikasi dari letupan dan kecederaan tusukan tumpul (complication of blust and blunt penetrating injuries),” katanya.

Menurut Raja Rozela, tiga bulan selepas kematian Nazrin, abangnya memohon untuk satu lagi bedah siasat dijalankan kerana percaya adiknya dibunuh.

“Pada 8 Oktober 2018, bedah siasat kedua dijalankan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan hasil bedah siasat kedua menunjukkan mangsa meninggal dunia akibat ‘multiple blunt impacts to head’,”

katanya.

Menurut Raja Rozela, dalam prosiding perbicaraan ini, pendakwaan akan membuktikan melalui keterangan pakar perubatan forensik bahawa kematian mangsa disebabkan hentakan benda tumpul di kepala dan hentakan ini adalah secara lazimnya boleh menyebabkan kematian kepada si mati.

“Keterangan akan menunjukkan bahawa mangsa tidak mati dalam kebakaran itu. Si mati (Nazrin) mati sebelum kebakaran berlaku dan kebakaran itu sengaja dibuat bagi menyembunyikan punca sebenar kematian si mati,” katanya.

Terdahulu, dalam prosiding di hadapan Datuk Ab Karim Ab Rahman, Samirah dan dua remaja lelaki itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan didakwa bersama-sama wanita Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas membunuh Nazrin, 47, di sebuah rumah di Mutiara Homes, Petaling Jaya.

Bekas eksekutif kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) yang tiba di Mahkamah Tinggi Shah Alam, dengan dua remaja itu pada 8.40 dengan memakai baju kurung berwarna coklat dan bertudung hitam.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah, Ashyraf Ashyari, Noor Mawarni Halim dan Wan Shahida Wan Omar manakala pembelaan diwakili Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, L S Leonard, S Suresh, Rahmat Hazlan, Savreena Kaur, Mardhiyah Siraj dan Zahriah Eleena Redza.

Prosiding perbicaraan itu turut disertai peguam pemerhati bagi pihak keluarga mangsa, Zain Arif dan S Selvi mewakili Kerajaan Republik Indonesia.

Perbicaraan bersambung petang ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 September 2019 @ 2:32 PM
SAMIRAH ketika hadir di mahkamah. FOTO NSTP