FARAH Ain maut manakala, anaknya Nur Afrina Miqaila selamat. FOTO Ravale Savarinathan.
Ravale Savarinathan
am@hmetro.com.my


BAYI perempuan yang terbabit kemalangan di Kilometer 32 Jalan Langkap-Kampar dekat Teluk Intan, semalam berjaya diselamatkan meskipun separuh badannya terbenam dalam lumpur.

Nur Afrina Miqaila Mohd Aziz berusia sembilan terselamat selepas tindakan pantas jururawat Klinik Desa Tanjung Keramat yang memberikan bantuan awal sebaik melihat kemalangan itu.

Insiden bagaimanapun mengorbankan tiga orang termasuk ibu Nur Afrina, Farah Ain Salim, 29.

Bapanya, Mohd Aziz Mohd Yadi, 29, berkata, ketika kejadian, Nur Afrina tercampak daripada kereta dan tidak sedarkan diri namun, jururawat klinik terbabit memberi bantuan segera hingga anaknya sedar semula.

“Rawatan segera itu menyelamatkan anak saya. Semalam dia dilihat trauma dan sering terkejut-kejut tetapi hari ini sudah nampak perubahan positif.

“Alhamdulillah, tiada kecederaan serius padanya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tanjung Keramat, Teluk Intan, hari ini.

Dalam kejadian 10.30 pagi semalam, Farah Ain meninggal dunia bersama ibu saudara Fuziyah Sarjuni, 62, dan jiran, Faridah Md Nayen, 38, yang sarat mengandung selepas kereta dinaiki mereka kemalangan dengan lori.

Menceritakan semula kemalangan itu, Mohd Aziz berkata, arwah isterinya sepatutnya membawa bayi mereka untuk pemeriksaan di klinik, hari ini namun, mengubah fikiran apabila arwah Faridah mahu ke klinik sama, semalam.

“Dia cakap alang-alang jiran nak ‘check up’, baik dia ikut sekali, jadi tak perlu berulang banyak kali dan saya benarkan dia pergi bersama ibu saudara.

“Tak sampai lima minit, ada ambulans lalu depan rumah dan saya yang kebetulan nak ke Langkap, sempat ikut belakang ambulans itu tanpa sedar ia bawa isteri dan mereka yang terbabit kemalangan itu,” katanya.

Dia juga beritahu sudah lebih setahun menetap bersama Allahyarham Fuziyah di rumah itu memandangkan ibu saudaranya tinggal sendirian.

“Hubungan arwah isteri dan ibu saudara memang rapat, macam anak dan mak, apa pun saya reda dengan kejadian ini dan tetap bersyukur kerana anak kami masih selamat, dialah satu-satunya anak kami,” katanya.

Berita berkaitan

Perkelahan terakhir bersama keluarga

'Arwah hanya tunggu hari bersalin'

Wanita mengandung antara 3 maut

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 7:04 PM