PEMAIN negara melakukan sesi latihan di padang A, Gelora Bung Karno, malam tadi.
Firdaus Hashim di Jakarta
firdaushashim@hmetro.com.my


JAKARTA: Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mahu anak buahnya segera melupakan isu kenderaan perisai Barracuda sebaliknya menuntut fokus 100 peratus menjelang aksi pertama Kumpulan G kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, di sini, malam esok.

Biarpun menyedari risiko tinggi yang bakal dihadapi pemainnya terutama provokasi daripada penyokong tegar skuad Garuda nanti, pengendali kelahiran Kedah itu tidak mahu pemainnya terganggu dengan isu berkenaan hingga menyebabkan pemain hilang fokus sekali gus misi meraih keputusan positif kemungkinan tidak kesampaian.

Justeru, beliau menasihatkan pemain supaya tidak terlalu memikirkan isu Barracuda atau keselamatan terutama di media sosial yang sebenarnya satu bentuk ‘perang’ provokasi untuk menakut-nakutkan skuad kendaliannya.

“Semua tahu berkunjung ke Jakarta bukannya mudah. Tetapi setakat ini keseluruhan pasukan nampak baik, pemain bersedia, bersatu untuk cuba dapatkan keputusan positif.

“Kita tahu Indonesia ada persiapan rapi dengan kemasukan pemain naturalisasi yang boleh membantu mereka. Namun kita ke sana dengan satu matlamat dan perlu fokus setiap perlawanan.

“Media sosial selalu menceritakan perang psikologi tetapi saya selalu ingatkan pemain yang mereka kena fokus kepada pasukan dan permainan sendiri. Lebih baik fokus kepada pasukan kita dan bukannya fokus kepada pasukan lawan,” katanya, semalam.

Harimau Malaya yang muncul naib juara Piala AFF penghujung tahun lalu bakal memulakan saingan kelayakan pusingan kedua itu dengan bertemu Indonesia di sini sebelum melayani kunjungan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Nasional Bukit Jalil, di Kuala Lumpur lima hari kemudian.

Selain dua pasukan itu, saingan Kumpulan G turut membabitkan Thailand dan Vietnam yang dijangka memberi tentangan sengit kepada Malaysia yang berhasrat untuk cuba melepasi peringkat ini dan layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia buat kali pertama sekali gus layak secara automatik ke Piala Asia 2023.

Namun, sekiranya skuad negara gagal menamatkan kedudukan di tangga teratas kumpulan atau muncul empat pasukan naib juara terbaik daripada saingan terbabit, skuad bimbingan Cheng Hoe masih berpeluang untuk sekurang-kurangnya layak ke Piala Asia 2023 dengan menempuh pusingan ketiga yang dijangka berlangsung penghujung tahun depan.

Untuk rekod, Malaysia yang pernah layak ke temasya Sukan Olimpik sebanyak dua kali pada 1972 dan 1980 tidak pernah layak ke Piala Dunia sejak ia dipertandingkan pada 1930.

Bagi saingan Piala Asia pula, skuad Harimau Malaya pernah merasai nikmat pentas itu pada 2007 menerusi tiket selaku tuan rumah bersama tiga negara ASEAN lain iaitu Thailand, Vietnam dan Indonesia yang menyaksikan pasukan kebangsaan menghuni tangga tercorot kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 5:20 AM