Lokasi kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 32 Jalan Langkap-Kampar berhampiran simpang Klinik Desa Tanjung Keramat, Teluk Intan. Foto Ihsan JBPM
Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my


TIGA wanita termasuk seorang yang sarat mengandung maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 32 Jalan Langkap-Kampar berhampiran simpang Klinik Desa Tanjung Keramat di Teluk Intan hari ini.

Kejadian 10.30 pagi itu turut menyebabkan bayi perempuan berusia lapan bulan cedera dan seorang lelaki berusia 43 tahun luka di hidung.

Mangsa yang maut itu adalah suri rumah, Farah Ain Salim, 19; pesara, Fuziyah Sarjuni, 62, dan Faridah Md Nayen, 38, sedang mengandung lebih 35 minggu.

Anak kepada Farah Ain, Nur Afrina Miqaila cedera dalam kemalangan itu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, pihaknya menerima maklumat kemalangan itu pada 10.50 pagi membabitkan sebuah lori, pacuan empat roda jenis Ford Ranger, Suzuki Swift dan Proton Saga.

“Siasatan awal mendapati lori dipandu lelaki berusia 36 tahun dan Suzuki Swift dinaiki tiga wanita dan seorang bayi perempuan yang kedua-dua kenderaan itu dari arah Langkap hendak menghala ke Kampar.

“Apabila sampai di tempat kejadian, lori berkenaan dipercayai terlanggar belakang Suzuki Swift berkenaan yang hendak membelok ke kanan masuk ke simpang Klinik Desa Tanjung Keramat.

“Rempuhan itu menyebabkan kereta berkenaan berpusing beberapa kali sebelum terlanggar Ford Ranger yang datang dari arah bertentangan sebelum terperosok ke dalam parit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, rempuhan itu menyebabkan lori berkenaan terbabas dan terlanggar Proton Saga yang berada di belakang Ford Ranger sebelum terjatuh ke dalam parit di sebelah kanan jalan.

“Penumpang Suzuki Swift, wanita berusia 19 tahun tersepit dalam kenderaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandunya berusia 62 tahun dan seorang lagi penumpang berusia 38 tahun meninggal dunia di Hospital Teluk Intan.

Mohd Marzukhi berkata, lelaki berusia 43 tahun yang pemandu Ford Ranger tidak cedera, manakala penumpangnya yang juga seorang lelaki luka di hidung.

“Pemandu Proton Saga yang turut terbabit dalam kemalangan itu terselamat tetapi masih belum dikenal pasti identitinya.

“Pemandu lori berusia 36 tahun juga terselamat dan kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 8:01 PM