MOHD Nor Imran (tengah) bersama rakan-rakan yang tak putus-putus memberi semangat serta melawatnya di hospital ketika menghidap kanser. FOTO ihsan pembaca
Nur Lela Zulkipli
nurlela@hmetro.com.my


“BIARLAH kita sakit apa sekali pun tapi jangan sesekali menyerah kalah dan hanya menunggu mati. Serahkan saja kepada Allah SWT soal mati,” itu kata anak muda Mohd Nor Imran Mat Shah, 23, yang berjaya membuktikan kecekalannya untuk hidup apabila berjaya mengharungi dua kanser yang menyerangnya sejak 2015 hingga kini.

Semangat dimiliki penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu boleh dikatakan luar biasa kerana pada usia 19 tahun dia sudah mula menjalani rawatan kanser di hospital keseorangan kerana enggan menyusahkan keluarga yang ketika itu berdepan dengan krisis kewangan.

“Tidak pernah terlintas saya akan menghidap kanser sehinggalah pada satu hari ketika saya berada di universiti pada 2015 saya kerap demam dan pengsan.

“Selepas melalui pemeriksaan di hospital, doktor mengesahkan saya menghidap kanser kelenjar tahap dua berikutan terdapat benjolan di celah paha saya.

“Pada usia 19 tahun saya akui tiada pengetahuan langsung untuk uruskan perkara ini.

“Bagi saya ketika itu keluarga tidak boleh tahu mengenai masalah yang saya hadapi kerana mereka sudah cukup susah menanggung perbelanjaan seharian dan kebetulan pada ketika itu ayah saya baru membeli rumah dan tentulah banyak wang diperlukan untuk urusan itu.

“Mujurlah syarikat tempat ayah saya bekerja ada menyediakan kemudahan insurans untuk anak dan saya terus ke hospital swasta di sini untuk mendapatkan rawatan tanpa memaklumkan kepada keluarga.

“Namun dugaan sebenar saya baru saja bermula apabila diberitahu kos rawatan mencecah RM80,000 sedangkan had bagi kad rawatan itu hanya bernilai RM30,000 setahun,” katanya.

Katanya, dia runsing memikirkan mengenai kos rawatan itu dan hanya mampu berdoa supaya Allah SWT memudahkan perjalanan hidupnya sehinggalah doktor di hospital itu merujuk kesnya ke sebuah hospital swasta di Johor Bahru yang mempunyai kepakaran bagi merawat kanser berkenaan.

“Dengan keadaan kewangan ketika itu, saya ikut cakap doktor supaya ke Johor Bahru untuk rawatan yang lebih baik. Di situ Allah temukan saya dengan seorang hamba-Nya yang turut menderita kanser yang kemudian banyak membantu saya selepas itu.

“Beliau menyapa saya dan bertanya mengenai keluarga saya dan sejak itu kami mula berkawan sebelum saya pulang semula ke Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

“Beberapa minggu selepas pulang ke Kuala Lumpur saya mendapat tahu kawan saya itu meninggal akibat kanser,” katanya.

Katanya, tidak lama kemudian dia terkejut apabila menerima surat menyatakan semua kos rawatannya sudah ditanggung sebuah yayasan atas bantuan rakannya itu.


MOHD Nor Imran bersama rakannya ketika menyertai latihan Palapes di UIAM selepas bebas kanser. FOTO ihsan pembaca

Pada hari jadinya 1 Januari 2018 anak kedua daripada tiga beradik itu menerima hadiah paling bermakna dalam hidupnya apabila doktor memaklumkan dia bebas daripada kanser selepas menjalani rawatan selama kira-kira tiga tahun tanpa pengetahuan ibu bapanya.

“Selama setahun saya menjalani hidup sihat seperti remaja lain dan ketika itu saya terus aktif dalam Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) di UIAM.

“Ketika itu saya hidup normal dan saya boleh melakukan apa saja aktiviti yang saya minati,” katanya.

Bagaimanapun, impian Mohd Imran untuk menerima tauliah tidak kesampaian apabila dia sekali lagi diuji dengan kanser usus besar tahap tiga pada awal tahun ini yang memerlukan dia menjalani rawatan kemoterapi bagi tempoh masa agak panjang.

“Saya sekali lagi diuji dengan dugaan lebih besar apabila doktor mengesahkan saya mengalami kanser usus yang hampir menyerang saluran darah. Ketika dimaklumkan saya tidak tahu apa hendak dikata kerana saya pernah melalui perkara ini.

“Selama beberapa bulan saya mengalami cirit birit berterusan sehingga hanya keluar darah semata-mata. Saya fikir ia hanya sakit biasa namun saya terpaksa kembali semula kepada rutin sebelum ini dan perlu jalani kemoterapi.

“Saya cuba sekali lagi naikkan semangat supaya tidak menyerah kalah kepada kanser.

“Allah SWT berikan hamba-Nya akal fikiran yang sempurna supaya dapat berfikir dengan baik dan sentiasa meminta pertolongan-Nya.

“Jika diikutkan doktor hanya beri saya 10 bulan saja untuk hidup ketika menghidap kanser kali pertama dulu namun Alhamdulillah berkat kesabaran dan tidak mudah berputus asa saya berjaya mengharunginya,” katanya.

Menurut Mohd Imran yang menetap di Kuantan, Pahang, selepas dimaklumkan menghidap kanser kali kedua, dia membuat keputusan untuk memberitahu kedua ibu bapanya mengenai perkara itu kerana enggan membelakangkan lagi insan yang paling disayanginya itu.

“Saya terfikir pasti ada hikmah saya menghidap kanser kali kedua. Saya nekad untuk memberitahu ibu bapa saya dan reaksi mereka sangat tenang dan tidak menyebabkan saya rasa serba salah.

“Malah, ibu adalah insan paling positif dan mengajak saya mendapat rawatan sewajarnya. Kalau saya tahu mereka setenang ini sudah pasti saya akan memaklumkan mengenai kanser pertama saya dulu,” katanya.

Katanya, sehingga kini dia sudah menjalani lima kitaran kemoterapi di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan berbaki dua sesi pada bulan ini berikutan perkembangan kesihatan yang semakin baik dan tubuhnya memberi reaksi yang baik terhadap ubat yang diambil.

“Saya perlu berterima kasih kepada semua rakan kuliah saya yang sentiasa mengambil berat akan kesihatan saya dan tidak pernah melayan seperti saya sakit.

“Mereka membuatkan saya rasa seperti insan normal lain dan saya kini hanya beberapa langkah lagi untuk mendapatkan semua hidup saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 6:45 AM