Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
azimfitri@hmetro.com.my


“Kami dah ‘deal’ nak mandi di tepi air saja. Sebelum itu kami berpegangan tangan untuk uji kedalaman kawasan kolam.

“Bagaimanapun seorang daripada kami tiba-tiba tergelincir dan terkapai-kapai di tengah kolam sementara seorang lagi cuba membantu sebelum mereka berdua tenggelam.”

Demikian penjelasan Jad Jafni Jawahir, 19, selepas menyaksikan dua rakannya, Muhamad Dzulhaziqi Mohd Azmi dan Syafwan Sukri masing-masing berusia 19 tahun lemas ketika mandi di kawasan tingkat satu air terjun Berkelah, Kuantan, hari ini.

Jad Jafni berkata, dia dan empat rakannya yang juga penuntut Kolej Matrikulasi Pahang, Gambang, menaiki kereta ke kawasan hutan lipur itu dari asrama mereka.

Menurutnya, mereka tiba pada 9.50 pagi sebelum mengambil keputusan untuk berjalan selama 15 minit untuk mandi di kawasan air terjun itu.

Katanya, mereka sudah sepakat untuk mandi di kawasan tepi air sebelum Muhamad Dzulhaziqi tergelincir dan terkapai-kapai di tengah kolam.

“Saya difahamkan Syafwan tidak pandai berenang, tetapi dia cuba menyelamatkan Dzulhaziqi, namun sebaliknya yang terjadi apabila dia turut terkapai cuba menyelamatkan dirinya daripada tenggelam dan menarik Dzulhaziqi tenggelam bersama.

“Kami cuba membantu, tetapi gagal. Kami meminta bantuan orang ramai di kawasan itu yang kemudian menghubungi pihak bomba,” katanya yang juga pelajar semester tiga jurusan Sains Komputer.


JENAZAH dua penuntut Kolej Matrikulasi Pahang yang lemas di Air Terjun Berkelah dibawa ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, hari ini. FOTO Farizul Hafiz Awang.

Jad Jafni berkata, dia bersahabat baik dengan dua mangsa terbabit dan pernah belajar dalam kelas sama.

Katanya, cadangan untuk mandi di kawasan air terjun itu dirancang kelmarin dan memperoleh kesempatan pada hari ini apabila diberikan cuti rehat sehari oleh pihak kolej.

“Sebelum ini kami tidak tahu kawasan ini (air terjun Berkelah) adalah kawasan bahaya yang sering meragut nyawa pengunjung.

“Ada pengunjung di kawasan itu memaklumkan banyak tragedi sudah berlaku di air terjun Berkelah dan membuatkan kami bertiga serba salah dengan apa yang terjadi,” katanya yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan.

Beliau berkata, anggota bomba tiba pada 12 tengah hari sebelum menemui rakan mereka kira-kira 30 minit kemudian.

Terdahulu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.13 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian bersama Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).

Beliau berkata, semua mangsa ditemui pada 12.36 tengah hari dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat.

Harian Metro difahamkan Syafwan Sukri beralamat di FELDA Kampung Sertik, Karak, Bentong manakala Muhamad Dzulhaziqi beralamat di Simpang Tiga Pengkalan Chepa, Kota Bharu.

Berita berkaitan

'Mayat dua penuntut lemas ditemui'

'Dua penuntut dikhuatiri lemas'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 5:15 PM