STACY.
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my

MEMILIH memeluk Islam empat tahun lalu adalah penghijrahan terbesar penyanyi terkenal Ummu Syaikhah Stacy Anam.

Malah, Stacy menyifatkan ia hidayah daripada Allah sekali gus menjadikan dirinya lebih baik dalam setiap aspek kehidupan.

Mengakui perjalanan menjadi Muslim sejati bukan mudah, Stacy berkata setiap hari adalah proses pembelajaran untuknya mencari keredaan Allah SWT.

Hari-hari yang dilalui sepanjang tempoh itu juga dianggap lembaran baharu buat dirinya. Ibarat seperti kain putih bersih yang perlu dicorakkan dengan rona keindahan dan kebaikan.

“Alhamdulillah, saya bersyukur menjadi pilihan Allah bagi menerima hidayah. Meski di awal penghijrahan banyak dugaan tetapi saya nekad untuk kuatkan hati.

“Setiap hari adalah sesuatu yang baharu buat saya. Ada saja pelajaran yang diterima sekali gus menjadikan saya lebih bersemangat. Malah, dorongan dan kata-kata orang sekeliling juga banyak membantu.

“Meski ia satu penghijrahan, tidak bermakna saya perlu berubah secara drastik. Saya belajar secara perlahan-lahan dan sedikit demi sedikit saya serap dalam diri,” katanya.

Stacy turut menzahirkan rasa syukur kerana dianugerahkan suami yang banyak membantu penghijrahannya.

Penyanyi Akim Ahmad banyak memberi tunjuk ajar dan menjelaskan sesuatu perkara. Selebihnya, Stacy banyak bertanya kepada golongan bijak pandai.

“Keputusan memeluk Islam adalah atas pilihan saya sendiri dan bukan atas paksaan sesiapa. Malah, saya berbincang dengan keluarga mengenai perkara ini. Alhamdulillah, mereka sangat positif.

“Selepas berkahwin, saya bertuah kerana Akim tidak pernah lupa melaksanakan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga. Dia banyak bantu saya sebagai saudara baharu.

“Dia tidak memaksa saya untuk terus ikut dan tidak lelah untuk memastikan saya faham setiap perkara. Daripada situ saya dapat belajar,” katanya.


Masih relevan

Siapa sangka selepas bersalin dua tahun lalu, nama Stacy masih kekal relevan dalam industri seni suara tanah air. Tahun ini genap 11 tahun dia berada dalam industri selepas muncul juara program Akademi Fantasia musim keenam.

Malah, Stacy kembali meniti populariti hingga disenaraikan sebagai top 5 kategori Penyanyi Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular BH yang bakal berlangsung pada 22 September ini.

“Alhamdulillah, ini semua rezeki. Dari awal kemunculan sampai sekarang, saya sentiasa percaya perkara ini. Apa saya boleh buat, sentiasa berusaha dan memberikan yang terbaik.

“Dalam masa sama, saya bertuah kerana peminat sentiasa memberikan sokongan. Mereka ada bersama saya walau di mana juga. Itu membuatkan saya terharu dan akan terus berjuang dalam bidang ini.

“Sama macam penyanyi lain, setiap tahun ada saja perancangan dibuat untuk kerjaya. Tinggal lagi, sejauh mana ia berjaya atau tidak. Justeru, apa yang penting jangan mudah putus asa,” katanya.

Selain muncul dengan single Khayal, Stacy bakal menghangatkan program Mentor Milenia 2019 apabila dipilih sebagai mentor serta bersaing dengan empat artis lain iaitu Akim, Ernie Zakri, Hazama dan Black.

Program disiarkan di TV3 itu akan bersiaran pada Oktober nanti.

Skil memasak

Dalam diam, siapa sangka Stacy mahir memasak. Kelebihan itu dikongsi Stacy di saluran YouTube, Stacy Anam.

Berbeza dengan kebanyakan selebriti lain, Stacy memaparkan masakan orang Sabah yang jarang sekali ditemui di Semenanjung Malaysia.

“Saya tidaklah hebat sangat memasak tetapi bolehlah. Setakat masak untuk sekeluarga, tak ada masalah. Juadah kesukaan saya adalah masakan Sabah. Hinggakan Akim pun semakin suka dan selalu buat permintaan.


STACY mahir memasak.

“Disebabkan itu, saya ingin mencipta kelainan dengan menampilkan masakan Sabah sebagai kandungan dalam saluran YouTube saya.

“Alhamdulillah, sambutan sangat baik. Setiap kali selepas muat naik, saya dapat banyak mesej di Instagram. Ramai yang minta saya berkongsi lagi menu lain yang ada di Sabah,” katanya.

Menurut Stacy, kemahiran dimiliki itu turut mendapat sokongan suami. Malah, Stacy berkata Akim antara pengkritik nombor satu.

“Buat masa sekarang, dia memang suka saya masak dan kongsi di YouTube. Kadang kala dia berikan juga idea.

“Tidak semestinya saya kena masak masakan Sabah saja. Ada juga menu orang sini saya buat. Itu memang satu cabaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 6:01 AM