SHARNAAZ.
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


PELAKON Sharnaaz Ahmad tidak bersedia untuk menjawab segala persoalan membabitkan rumah tangganya yang didakwa di ambang perpisahan.

Sharnaaz berkata, dia bimbang jika kenyataan yang diberikan akan memudaratkan lagi keadaan.

“Buat masa sekarang saya betul-betul belum bersedia untuk bercakap mengenai perkara ini.

“Saya takut jika kenyataan yang bakal dikeluarkan nanti akan memudaratkan lagi keadaan,” katanya.

Menurutnya, dia mengakui sebelum ini sering terbuka untuk bercakap mengenai semua perkara namun kali ini ia membabitkan keluarga dan anaknya, Jebat Jayden.

“Ini soal keluarga jadi saya tak nak cakap lebih kerana bimbang akan menjejaskan kedua belah pihak dan anak.

“Tidak dinafikan, hari ini saya dihujani panggilan telefon dan mesej yang ingin mengetahui mengenai perkara ini,” katanya.

Terdahulu sebuah portal melaporkan isteri Sharnaaz , Noor Nabila Mohd Noor, memfailkan perceraian apabila memuat naik sekeping foto dipercayai Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jalan Duta, di Instagram Story miliknya.

Malah, wanita berkenaan juga didakwa memuat naik status yang dikatakan menguatkan lagi spekulasi dirinya berdepan masalah rumah tangga.

Biarpun berdepan ujian hidup yang berat, Sharnaaz tetap mengambil kesempatan untuk memberikan ucapan ulang tahun buat anak tercintanya.

“Hari ini hari jadi anak saya. Saya nak ucapan Selamat Hari Lahir buat Jebat,” katanya.

Sebelum ini, perkahwinan antara Sharnaaz dan Nabila dikatakan pernah berdepan masalah. Namun, perhubungan mereka dilihat semakin pulih, sejak Februari lalu.

Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 31 Mac 2017 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Jebat Jayden, pada Ogos tahun lalu.

Berita berkaitan

Tak adil saya jawab isu kakak - Neelofa

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Ogos 2019 @ 1:03 AM