Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


SELEPAS diiktiraf sebagai belia termuda Asia Tenggara menakluk puncak tertinggi di Eropah, Gunung Elbrus setinggi 5,642 meter, Sara Sofea Mohammad Illaham, 16, mensasarkan pendakian Gunung Vinson Massif di Antartika sebagai projek pendakian keduanya pada 2020.

Vinson Massif, setinggi 4,700 meter adalah gunung tersenarai di dalam tujuh puncak tertinggi di tujuh benua dunia.

Ia juga menjadi destinasi pendakian yang mampu mencabar kemampuan pendaki melawan suhu sejuk melampau.

Selain itu, gunung itu juga dikatakan menjadi kunci kejayaan pendaki Asia yang ingin melengkapkan tujuh puncak di tujuh benua dunia kerana ia terletak di Benua Antartika yang amat dikenali sebagai destinasi pendakian menelan kos paling tinggi.

Selain kos mencecah RM231,000 atau USD40,000, pendaki juga perlukan persediaan logistik yang lebih rumit berbanding Gunung Everest.

Sara berkata, meskipun kebanyakan pendaki antarabangsa mensasarkan Gunung Everest sebagai kemuncak pendakian gunung tertinggi di tujuh benua dunia, baginya menakluki Vinson Massif terlebih dahulu memberi peluang untuknya berdepan dengan cabaran paling besar.

Pelajar Tingkatan Empat Sekolah Sains Kuala Selangor (SMSKS) itu juga berhasrat untuk menjadikan aktiviti itu sebagai bukti kemampuan golongan belia menerokai aktiviti lasak di peringkat antarabangsa pada usia muda.

“Saya dapat banyak bimbingan daripada bapa, Mohammad Illaham Ishak kerana dia sudah dua kali menawan Gunung Everest dan juga dalam misi terakhir untuk melengkapkan tujuh pendakian gunung tertinggi di tujuh benua.

“Selain itu, aktiviti mendaki gunung alp yang diketahui dalam kalangan peminatnya sebagai kegiatan yang memerlukan persediaan rapi menjadikan kita lebih berdisiplin dan sentiasa bersiap sedia,” katanya.


SARA Sofea memperlihatkan barangan dan peralatan mendaki miliknya. FOTO Sairen Nafis

Menceritakan kembali ketika menawan Gunung Elbrus pada 15 Ogos lalu, Sara berkata, berdepan dengan cabaran penyakit akut gunung (AMS) adalah perkara yang paling dibimbangkan.

Katanya, dalam perjalanan pendakian dia sendiri mengalami gejala AMS iaitu muntah dan sakit kepala.

Bagaimanapun, katanya, kepakaran kumpulan ekspedisinya yang diketuai bapanya sendiri membantu Sara untuk mengendalikan masalah berkenaan.

“Memandangkan Gunung Elbrus mempunyai laluan teknikal yang tersendiri, saya sebagai pendaki baru perlu memastikan setiap pakaian dan peralatan yang digunakan sesuai.

“Selain itu, Gunung Elbrus juga amat dikenali sebagai destinasi pergunungan alps yang sukar dijangka laluan angin atau dalam kata lain cuacanya.

“Jika keadaan cuaca buruk terutama angin yang kuat, kita tidak boleh meneruskan perjalanan,” katanya.

Sara diiktiraf sebagai belia termuda Malaysia dan Asia Tenggara menakluk Gunung Elbrus dari Persatuan Pergunungan, Mendaki Tembok Batu dan Pelancongan Sukan, Persekutuan Kabardino-Balkarian di Russia.

Bagi anak sulung dari tiga beradik ini, sebagai pendatang baru dalam arena pergunungan untuk melengkapkan tujuh puncak gunung di tujuh benua dunia, pastinya memerlukan persediaan.

“Menimba ilmu sebanyak mungkin menerusi pembacaan mengenai sesuatu destinasi pendakian banyak membantu saya untuk mempersiapkan diri sebenarnya. Perkara ini yang diterapkan bapa saya.

“Kemudian, disusuli dengan latihan berterusan dan penjagaan makanan bagi memastikan kekuatan mental dan fizikal.

“Selain itu, sokongan penaja terutama pihak kerajaan dan korporat tempatan untuk menggalakkan golongan belia negara terus menonjol dalam arena ini juga perlu bagi memastikan misi ini dapat dilaksanakan,” katanya.


SARA Sofea bergambar bersama keluarga di Taman Subang Bestari. FOTO Sairien Nafis

Sara menyertai misi pendakian berkenaan menerusi inisiatif yang dilaksanakan oleh Kelab Jelajah Alpine Malaysia (KJA) yang mensasarkan lebih ramai golongan belia Malaysia untuk menerokai aktiviti lasak di peringkat antarabangsa.

Jelasnya, aktiviti mendaki bukan untuk mengejar rekod semata-mata tetapi perkara itu dapat memberi banyak kesan positif dari segi pembangunan sahsiah golongan belia.

“Jika kita melakukan aktiviti mendaki, perkara utama adalah ilmu yang menjadikan pendaki itu akan lebih banyak membuat kajian mengenainya.

“Selain itu, disiplin, kita tidak boleh bermain-main dengan perkara ini kerana ia menentukan kemampuan individu untuk menguasai fizikal dan mental diri masing-masing.

“Tidak diketepikan pastinya, merapatkan diri dengan agama kerana saya percaya aktiviti mendaki menjadikan saya lebih bersyukur dengan kehidupan di dunia ini terutama menjaga hubungan baik sesama manusia dan alam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Ogos 2019 @ 9:00 PM
SARA Sofea membaca buku mengenai pendakian tujuh benua. FOTO Sairien Nafis