Raja Noraina Raja Rahim & Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


ANISMALINA Jamaludin, 20, mangsa kemalangan yang maut dalam kemalangan di Kilometer 269.9 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban, sempat menghubungi bapa kepada Muhammad Idham Baharudin, 20, sejurus mereka terbabas.

Baharudin Mohd Isa, 59, bapa kepada Muhammad Idham berkata, kawan kepada anaknya itu menghubunginya pada 9.30 malam memaklumkan mereka terjatuh di lebuh raya dan mengalami luka ketika dalam perjalanan ke Banting.

Baharudin yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah hotel di Seremban berkata, ketika menerima panggilan itu dia sedang bertugas dan meminta Anismalina supaya menghubungi ambulans kerana tidak dapat keluar memandangkan masih bertugas.

“Saya terima panggilan dari kawannya memaklumkan mereka terjatuh motosikal dan mengalami kecederaan. Ketika itu saya mengucap panjang dan hanya mampu meminta dia menghubungi ambulans kerana masih bertugas.

“Saya fikir mahu jumpa anak (Muhammad Idham) dan meminta kebenaran untuk keluar sebelum bergegas ke lokasi pada 10.30 malam menaiki motosikal,” katanya ketika dihubungi di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJ) di Seremban, hari ini.

Dia berkata, keadaan jalan sesak sebelum tiba di lokasi kejadian.

“Seorang pengguna lebuh raya memaklumkan kepada saya jalan sesak dan tidak boleh dilalui, namun masa itu saya hanya fikir mahu tengok anak sebelum menghubungi telefon bimbitnya.

“Bagaimanapun, panggilan dijawab oleh individu lain dan memaklumkan anak saya ‘sudah tiada’ dan terus bergegas ke lokasi sebelum melihat jenazah Muhammad Idham dan Anismalina yang ditutup plastik,” katanya yang kelihatan tenang.

Baharudin berkata, ketika dia menerima panggilan itu, anaknya dan Anismalina hanya terjatuh sendiri sebelum lori dari arah belakang merempuh sebuah lagi lori yang berhenti membantu anaknya.

“Saya terima takdir ini. Arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang, Seremban, selepas selesai bedah siasat,” katanya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, Superintendan Ibrahim Mohd Abdul Kadir berkata, siasatan awal mendapati motosikal ditunggang Muhammad Idham dari Seremban ke Kajang dipercayai hilang kawalan lalu terbabas di lorong kecemasan.

“Lori membawa muatan LPG dari arah sama berhenti di lorong kecemasan untuk membantu.

“Selepas itu, datang lori simen dari arah belakang lalu melanggar lori LPG berkenaan menyebabkan lori itu bergerak ke hadapan dan merempuh empat mangsa,” katanya.

Berita berkaitan:

  • Identiti mangsa kemalangan dikenal pasti
  • Trafik sesak 7km
  • Tiga maut dekat R&R Seremban
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Ogos 2019 @ 12:23 PM
    KEMALANGAN membabitkan lori tangki, lori membawa muatan tong gas LPG dan dua motosikal. FOTO Iqmal Haqim Rosman