Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


IDENTITI semua mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 269.9 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban malam tadi, sudah dikenal pasti.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan Superintendan Ibrahim Mohd Abdul Kadir berkata, mangsa yang maut ialah penunggang motosikal Muhammad Idham Baharudin, 20; pemboncengnya Anismalina Jamaludin, 20; dan pemandu lori V Ravendran, 26.

Menurutnya, mangsa yang cedera ialah penunggang motosikal Abdul Hafis Suhaimi, 26, dan pemandu lori Darul Aman Ahmad, 38.

Katanya, kemalangan 10 malam itu membabitkan empat kenderaan iaitu motosikal Yamaha Y15, motosikal Honda EX5, lori membawa muatan gas petroleum cecair (LPG) dan lori simen.

“Siasatan awal mendapati motosikal ditunggang Muhammad Idham dari Seremban ke Kajang dipercayai hilang kawalan lalu terbabas di lorong kecemasan. Abdul Hafis yang berada di belakang berhenti dan memberi bantuan kepada penunggang serta pembonceng terbabit.


TIGA maut dalam kemalangan di Kilometer 269.9 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban. FOTO Iqmal Haqim Rosman

“Lori membawa muatan LPG dari arah sama berhenti di lorong kecemasan dan turut membantu. Selepas itu, datang lori simen dari arah belakang lalu melanggar lori LPG berkenaan menyebabkan lori itu bergerak ke hadapan dan merempuh empat mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ibrahim berkata, akibat rempuhan itu penunggang dan pembonceng meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua lagi mangsa cedera.

“Pemandu lori simen turut meninggal dunia. Mayat ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat. Mangsa yang cedera juga dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut,” katanya.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, sehingga pagi ini dua lorong masih ditutup untuk kerja mengalihkan kenderaan dan pembersihan.

Berita berkaitan:

  • Trafik sesak 7km
  • Tiga maut dekat R&R Seremban
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Ogos 2019 @ 9:56 AM