ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran hutan berhampiran Kampung Tanjung Adang dan Kampung Pekajang, Gelang Patah.
Mohd Sabran Md Sani dan Izlaily Nurul Ain Hussein
am@hmetro.com.my


ISKANDAR PUTERI: Prihatin dengan kebakaran yang memasuki hari keenam menyebabkan Pemangku Raja, Tunku Ismail Sultan Ibrahim turun padang bagi meninjau kebakaran hutan di Jalan Tanjung Kupang, Kampung Pekajang di sini.

Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor diberikan taklimat berhubung perkembangan terkini operasi pemadaman api berkenaan oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor, Datuk Yahaya Madis.

Tunku Ismail turut membuat lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Adang yang menempatkan kira-kira 200 pelajar sekolah dan terletak berhampiran dengan kawasan kebakaran.

Pada lawatan itu, Tunku Ismail turut menitahkan supaya sekolah itu ditutup sementara demi kesihatan pelajar.

Untuk rekod, kebakaran hutan itu sudah merebak sehingga seluas 98 hektar dipercayai akibat cuaca panas dan kering negeri ini.


ANGGOTA Pertahanan Awam gigih memadam api

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia, Dzulkefly Ahmad yang turut mengiringi Tunku Ismail dalam lawatan itu berkata, keadaan terkini kualiti udara mencatatkan bacaan 63 kelmarin dan 81 semalam.

Dzulkefly berkata, kebakaran masih kekal meliputi kawasan 16 hektar dengan 60 peratus sudah berjaya dipadamkan.

“Kerja-kerja mengorek fire breaker yang berbentuk parit untuk diisi air bagi mengelakkan kawasan kebakaran merebak hampir selesai.

“Kawasan kebakaran itu sudah dikepung dengan parit fire breaker itu, jadi penduduk tidak perlu risau atau bimbang,” katanya.

Beliau berkata, strategi pemadaman kini adalah untuk memadam api di atas dan di bawah tanah berikutan tanah hutan itu adalah tanah gambut.

“Dua pam air tambahan sudah diterima daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) malam kelmarin dari Batu Pahat,” katanya.

Pemangku Raja Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan berangkat meninjau lokasi kebakaran hutan di Jalan Tanjung Kupang, Kampung Pekajang, Gelang Patah dekat sini, hari ini.

Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor diberikan taklimat perkembangan terkini operasi pemadaman api yang membabitkan kekuatan lebih 70 pegawai dan anggota oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor Datuk Yahaya Madis .

Menerusi catatan dan beberapa gambar yang dimuat naik dalam laman Facebook rasmi Tunku Ismail, HRH Crown Prince of Johor, baginda turut melakukan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Adang yang mempunyai seramai 200 pelajar, di mana sekolah itu terletak berhampiran dengan kawasan kebakaran tersebut.

Pada lawatan itu, Tunku Ismail turut menitahkan supaya sekolah berkenaan ditutup sementara demi kesihatan pelajar-pelajar.

Kebakaran hutan sejak 21 Ogos lepas itu merebak sehingga seluas 98 hektar dipercayai akibat cuaca panas dan kering yang melanda negeri ini.


TUNKU Ismail berangkat meninjau lokasi kebakaran hutan di Jalan Tanjung Kupang, Kampung Pekajang, Gelang Patah.

Kerajaan Johor rancang benih awan

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri meminta Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) membuat keputusan dan tindakan berhubung titah Pemangku Raja, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mahu dua sekolah berhampiran hutan di Jalan Tanjung Kupang, Kampung Pekajang, Gelang Patah yang terbakar sejak 21 Ogos lalu, ditutup sementara.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, kerajaan negeri bersama agensi berkaitan sentiasa berusaha sebaik mungkin bagi memastikan kebakaran yang berlaku dapat diatasi segera.

“Saya ambil maklum dan menjunjung kasih atas titah Pemangku Raja. Saya harap JPNJ ambil maklum titah yang disampaikan ini.

“Kerajaan negeri bersama agensi berkaitan sentiasa berusaha sebaik mungkin supaya kebakaran dapat diatasi segera,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Persimpangan Bertingkat Kempas di tapak projek dekat Setia Tropika di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Mohd Solihan Badri; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim.

Dr Sahruddin berkata, beberapa langkah bagi menangani kebakaran hutan sudah diambil, selain proses pembenihan awan turut dalam perancangan kerajaan negeri.

“Pembenihan awan memang antara perancangan, tetapi kita perlu menunggu terlebih dahulu agensi berkaitan memaklumkan sama ada perlu atau tidak proses berkenaan dilakukan,” katanya.

Beliau pada masa sama turut memaklumkan semua operasi Kerajaan Negeri di Kota Iskandar masih berjalan seperti biasa biarpun ada yang mendakwa kualiti udara di kawasan pentadbiran terbabit terjejas akibat kebakaran hutan itu.

Untuk rekod, status tanah hutan yang terbakar itu adalah tanah berhak milik iaitu tanah persendirian yang digunakan bagi tujuan pertanian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Ogos 2019 @ 5:51 AM