DR Syamsul (kiri) berbual dengan Nur Farah (dua dari kanan) dan Nurul Wahida selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik 2018 KPTM. FOTO Fathil Asri
Hazira Ahmad Zaidi
cnews@nstp.com.my


SEBAGAI membalas jasa ibu bapanya, anak kepada penternak burung puyuh membuktikan mampu menjadi pelajar cemerlang apabila menerima Anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan Program di Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) di sini.

Nurul Wahida Mohamad Azlan, 24, berkata dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2012 dia hanya memperoleh keputusan 1A berbanding rakan lain yang lebih cemerlang.

Penuntut Diploma Pengurusan Perniagaan yang turut menerima Anugerah Pelajar Terbaik Program berkata, selepas tamat SPM dia mengambil keputusan melanjutkan pengajian ke KPTM untuk membantu bapa, Mohamad Azlan Daud, 55, menguruskan perusahaan puyuh.

“Bidang penternakan puyuh bukan saja bertumpu kepada ternakan saja sebaliknya ia boleh dikembangkan kepada perniagaan daging dan telur (puyuh).

“Pada masa sama, saya juga mendalami ilmu pemasaran terutama melalui perniagaan dalam talian yang mampu melonjakkan keuntungan perniagaan puyuh,” katanya selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik 2018 KPTM dirasmikan Timbalan Presiden Akademik KPTM, Abdul Azmi Abdul Aziz di sini, malam kelmarin.

Pada majlis itu, seramai 35 penuntut menerima Anugerah Pelajar Harapan, Pelajar Terbaik Program dan Pelajar Terbaik Keseluruhan yang disampaikan Pengarah KPTM Kota Bharu, Dr Syamsul Fozy Osman.


NUR Farah dan Nurul Wahida. FOTO Fathil Asri

Anak ketiga daripada enam beradik itu berkata, tumpuan diberikan dalam kelas selain sering membantu rakan menjadi antara resipi kejayaannya memperoleh Anugerah Dekan setiap semester.

“Untuk berjaya kita perlu sentiasa berfikiran positif dan jangan sesekali sombong dengan ilmu yang ada,” katanya yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.90.

Seorang lagi penerima Nur Farah Lydia Omar, 20, iaitu penuntut Diploma Pengurusan Perniagaan bukan saja memperoleh Anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan Program, malah mendapat Anugerah Pelajar Terbaik Program serta Anugerah Pelajar Harapan.

Anak bongsu daripada enam beradik itu berkata, dia menjadikan anugerah diperoleh itu sebagai batu loncatan untuknya terus cemerlang dalam bidang akademik.

“Alhamdulillah, segala penat lelah dan usaha keras selama ini terbalas, jika ada rezeki saya akan menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Perbankan,” katanya.

Sementara itu, Abdul Azmi berkata, majlis berkenaan adalah untuk memberi penghargaan kepada penuntut KPTM atas usaha keras mereka dalam mencapai keputusan cemerlang.

“Saya berharap kejayaan penuntut yang memperoleh anugerah ini menjadi pemangkin kepada penuntut lain pada masa depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 6:30 AM