ANGGOTA bomba melakukan operasi pemadaman kebakaran hutan berhampiran Kampung Tanjung Adang dan Kampung Pekajang, Gelang Patah. FOTO ihsan bomba
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


IKHTIAR menggunakan air laut serta usaha pembenihan awan bakal dilakukan bagi memadamkan kebakaran besar membabitkan kawasan hutan di Kampung Pekajang di Gelang Patah, Iskandar Puteri di sini.

Kerajaan negeri tidak menolak untuk menggunakan baki sebahagian RM30 juta dana bencana bagi membiayai kos pembenihan awan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, tindakan itu mungkin terpaksa dilakukan sekiranya 16 hektar kawasan hutan di kampung itu masih gagal dipadamkan.

Katanya, proses pembenihan awam antara langkah alternatif ketiga dilakukan sekiranya pendekatan menggunakan air laut gagal menyelesaikan isu kebakaran itu.

“Kebarangkalian pembenihan awan menjadi agak kurang dengan mengambil kira keadaan awan agak tipis dan kurang kelembapan.


SERAMAI 70 anggota bomba dari 10 balai bomba dan penyelamat membantu memadamkan kebakaran. FOTO ihsan bomba

“Bagaimanapun kita tidak menolak untuk cuba usaha itu (pembenihan awan), walaupun kosnya tinggi sekitar RM35,000 sehari,” katanya pada sidang media di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Uda Utama di sini, semalam.

Beliau berkata, pada kebiasaannya proses pembenihan awan akan dilakukan paling minimum antara lima hingga 10 hari.

“Jadi saya akan bincang dengan Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal untuk menggunakan dana bencana yang diperuntukkan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian.

“Sebanyak RM30 juta diperuntukkan bagi insiden pencemaran udara dan Sungai Kim Kim dan masih berbaki.

“Kita akan gunakan dana ini bagi melakukan kerja pembenihan awam di Kampung Pekajang, Gelang Patah,” katanya.


ANGGOTA bomba bertungkus-lumus berusaha untuk memadamkan kebakaran. FOTO ihsan bomba

Menurutnya, beliau juga akan berbincang dengan Jabatan Meteorologi berhubung perkara itu, selain perbincangan lanjut bersama Menteri Besar Johor akan dilakukan hari ini.

Mengulas mengenai isu kebakaran itu, katanya, kebakaran bermula pada Rabu lalu dan kini memasuki hari kelima membabitkan keluasan 16 hektar.

“Seramai 70 anggota bomba dari 10 balai bomba dan penyelamat membantu memadamkan kebakaran dengan dibantu 15 anggota bomba sukarelawan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).

“Lima jentera juga digunakan bagi membina parit di sekeliling 16 hektar kawasan terjejas dan keadaan pembakaran terkawal,” katanya.

Katanya, apa yang menjadi isu adalah bagaimana api berkenaan dapat dipadamkan segera dan malangnya lawatan menerusi udara mendapati sumber air terhad menyukarkan operasi pemadaman.

“Tidak ada air semulajadi, malah air parit dan tasik juga kering akibat musim kering yang melanda negeri ini ketika ini.

“Justeru sebagai alternatif bekalan air dari Ranhill SAJ terpaksa digunakan terutama dua saluran terdapat dikawasan itu dapat membantu proses pemadaman kebakaran.

“Pada masa sama, usaha dilaksanakan anggota bomba untuk menggunakan hos air sepanjang 60 meter bagi menyedut air laut ke kawasan kebakaran,” katanya.

Katanya, proses pembenihan awam hanya akan ditanggung kerajaan Persekutuan sekiranya ia diisytiharkan darurat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 6:00 AM