AMIRIDZWAN (kanan) ketika beraksi bersama Kelantan. FOTO Muhammad Asyraf Sawal
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my


BEKAS tonggak pertahanan Kelantan, Amiridzwan Taj berharap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menghukum Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dengan melarang pasukan itu beraksi di Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Jelasnya, tindakan itu bakal menjadi hukuman terbaik buat KAFA yang hingga kini masih gagal melunaskan tunggakan gajinya yang sudah berlanjutan hampir setahun.

Katanya, KAFA tidak pernah membuat apa-apa pembayaran ke atas gajinya sepanjang lapan bulan menyarung jersi The Red Warriors musim lalu dan wajar bagi FAM menggantung lesen pasukan itu hingga mereka melangsaikan semua hutang ke atas pemain.

“Dah nak masuk setahun gaji saya senyap begitu saja. KAFA langsung tak menunjukkan tanda-tanda mahu membayar gaji saya selama lapan bulan. Terus terang saya katakan, ketika ini saya amat terdesak dan duit simpanan juga sudah kehabisan.

“KAFA perlu jelaskan tunggakan gaji saya dan FAM kena halang Kelantan daripada beraksi musim depan.

“Seingat saya, FAM pernah keluarkan kenyataan akan menghalang pasukan yang ada masalah tunggakan gaji dengan tak luluskan lesen sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Pelesenan kelab adalah antara prasyarat yang ditetapkan FAM dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk menyertai Liga Super dan Liga Perdana.

Kegagalan mendapatkan lesen boleh menyebabkan sesebuah pasukan itu tidak dibenarkan bertanding dalam kejohanan kelolaan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Liga Malaysia.

Lesen hanya dikeluarkan selepas pasukan menepati beberapa kriteria seperti kesukanan, infrastruktur, pentadbiran, undang-undang, kewangan dan perniagaan.

Ujar bekas pertahanan Harimau Malaya itu lagi, dengan tarikh tutup penghantaran dokumen pelesenan kelab akan berakhir Jumaat ini, dia berharap FAM dapat melakukan sesuatu kepada KAFA.

“Jadi, tinggal lagi lima hari sebelum tarikh tutup (penghantaran dokumen pelesenan kelab), saya nak tengok sejauh mana Kelantan dapat main atau tak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 5:45 AM