WANY doa jodoh.
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


PADA usia 27 tahun, Bintang Paling Popular ABPBH 31, penyanyi Wany Hasrita dapat menyempurnakan Rukun Islam kelima iaitu mengerjakan haji.

Jemputan daripada kerajaan Arab Saudi itu dianggap rezeki tidak mampu ditolak. Apatah lagi menjadi tetamu Allah SWT untuk menunaikan haji impian setiap umat Islam.

Bagi Wany atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah, pengalaman sepanjang sembilan hari di sana menjadi kenangan dan memori terindah dalam hidupnya.

Malah, Wany menyifatkan ia satu perjalanan ke arah mencari titik kesempurnaan dalam diri bagi mendapat keredaan Allah.

“Sebenarnya, sebelum pergi saya terfikir apa persepsi orang apabila pulang daripada haji. Adakah apabila saya balik nanti orang akan meletakkan lebih harapan terhadap saya? Orang nak tengok perubahan saya.

“Tapi saya letak tepi perkara itu dengan berbalik kepada diri sendiri. Apa yang penting jangan fikir apa persepsi orang tetapi apa yang kita rasa. Memang perubahan kena ada. Kalau tak pergi haji pun, kita kena berubah. Hari demi hari kena ubah diri menjadi lebih baik.

“Begitu juga kalau sudah balik haji. Kita kena pertingkatkan dan majukan diri. Bagi saya, tidak mengapa jika ada sedikit perubahan daripada tak ada langsung atau dibuat secara mendadak.

“Jadi, saya tak nak fikir apa persepsi orang. Itu hak mereka nak fikir apa pun. Kalau saya tak dapat berikan apa yang mereka fikir dan mahukan, saya minta maaf,” katanya.


WANY ketika dia Makkah.

Wany yang popular menerusi lagu Menahan Rindu turut berkongsi keterujaan apabila dibawa menaiki helikopter bagi menyaksikan sendiri Tanah Haram dari udara.

“Ini pun dibuat saat akhir ketika berada di Mina. Pihak sana mempelawa sekiranya ingin menaiki helikopter melihat pemandangan Tanah Haram.

“Siapa yang tidak mahukan? Saya sangat bertuah dan bersyukur diberi peluang sedemikian rupa.

“Dari atas nampak betapa kecilnya kita. Khemah di Mina pula sangat jauh. Saya tabik kepada semua jemaah yang dapat melaksanakan haji,” katanya.

Malah, sepanjang di sana Wany yang pergi bersama rakan penyanyi, Amira Othman turut mendapat layanan istimewa.

“Alhamdulillah, ibadah haji berjalan lancar. Walaupun saat akhir dapat pergi, itu semua tidak menghalang saya bersedia mental dan fizikal.

“Di sana pun semuanya okay walaupun berdepan detik banjir. Apalah sangat ujian itu jika mahu dibandingkan dengan jemaah lain yang terpaksa mengharungi lebih banyak dugaan.

“Saya sangat bertuah kerana ditempatkan di khemah Kementerian Media Arab Saudi yang mana sangat dekat tempat melontar. Itu pun sudah buat saya berasa sangat bersyukur. Sampai saya tanya kepada diri, layakkah saya dapat layanan sebegini namun itu takdir dan rezeki saya. Alhamdulillah,” katanya.

DOA JODOH

Sepanjang di sana, Wany berdoa untuk diri, keluarga dan orang sekelilingnya. Malah dia turut memanjatkan doa soal jodoh dan dipertemukan dengan lelaki baik.

“Doa soal jodoh mestilah ada. Awal-awal lagi tetapi saya lebih banyak berdoa agar dilimpahi rezeki. Itu yang utama.

“Selain itu, saya berdoa diberikan kesihatan yang baik. Paling penting, minta ampun atas segala kesalahan dan dosa yang pernah dibuat,” katanya.

Dalam masa sama, Wany juga memasang niat untuk membawa ibu dan keluarga lain ke Makkah.

Bagi Wany, tempoh sembilan hari di sana tidak cukup dan kalau boleh ingin berada lebih lama supaya dapat beribadah sepuasnya di tempat paling suci itu.

“Sebelum ini saya tak pernah pergi umrah. Jadi, ini kunjungan pertama saya dan terus buat haji. Tengok kelambu Kaabah dari jauh pun rasa berdebar lain macam.

“Apabila masuk dan tengok depan mata, saya tak terkata. Besarnya kuasa Allah. Ketika melakukan tawaf pertama, saya tak baca apa. Saya tengok sahaja Kaabah.

“Ketika di Madinah pula, walaupun hanya lima jam si sana, saya dapat juga masuk dalam raudhah di Masjid Nabawi dalam keadaan yang tenang.

“Insya-Allah, selepas ini nak bawa ibu dan keluarga pula. Kalau boleh biar dalam jangka waktu yang selesa. Sembilan hari memang tak cukup,” katanya.

LAGU DUET

Mengenai kerjaya seni, Wany bakal muncul dengan single duet bersama Raja Pop Datuk Jamal Abdillah. Lagu berjudul Belenggu Rindu itu ciptaan komposer dan penyanyi terkenal Hael Husaini serta Ezra Kong.

“Alhamdulillah, impian untuk berduet dengan penyanyi legenda yang saya minati menjadi kenyataan.

“Sejak awal lagi, jika ditanya siapa artis yang menjadi idaman saya untuk berduet, sememangnya Datuk Jamal antara pilihan utama.

“Saya percaya, selain diri ini, ramai lagi artis dan peminat mengagumi bakat serta nyanyiannya. Saya anggap ini rezeki dan Allah memakbulkan impian saya,” katanya.

Lagu berkonsep pop itu berkisarkan nasihat insan lebih berpengalaman kepada golongan muda mengenai hal kehidupan dan percintaan.

“Insya-Allah, jika tiada halangan lagu ini akan dilancarkan bulan depan. Saya pun tidak sabar mahu lihat maklum balas peminat.

“Lagu ini masih bertemakan percintaan. Cuma kali ini lebih kepada unsur nasihat. Pendek kata, golongan muda tidak boleh terlalu mengikut hati dan perasaan dalam soal hati,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 5:30 AM