HASNOL (kanan) menyarungkan beret khas kepada anggota PASPA.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my


WAJIB lulus dalam pelbagai ujian kemahiran menyelamat peringkat tinggi termasuk latihan ketahanan fizikal ala komando.

Itu antara syarat ketat perlu dilalui sebelum mereka boleh bergelar anggota elit Pasukan Khas Pertahanan Awam (PASPA) atau (Special Disaster and Emergency Tesponse Team) (SPIDER TEAM).

Sejak ditubuhkan bermula 2008, hanya seramai 35 individu berbanding lebih sejuta ahli Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di seluruh negara berjaya melepasi ujian dan bergelar anggota PASPA.

Terbaru seramai 25 individu diiktiraf sebagai ahli baru PASPA pada Majlis Penutup Latihan Kemahiran PASPA di Pantai Air Papan, Mersing, Johor, semalam.

Mereka menjalani latihan bermula 14 Julai hingga kelmarin di beberapa lokasi antaranya Akademi APM Bangi, Selangor dan Mersing, Johor.

Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab berkata, majlis penutup itu dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Hasnol Zam Zam Ahmad.

Beliau berkata, individu yang mahu menjadi ahli PASPA perlu lulus dalam latihan jasmani, latihan pengurusan bencana runtuhan, menyelamat bencana air dan kaedah menyelamat menggunakan tali.

“Selain itu ahli skuad PASPA perlu mahir dalam misi bantuan kemanusiaan dan operasi luar negara, pengurusan mayat selepas bencana, kemahiran menyelamat skuba dan navigasi darat.

“Semua latihan ini menjadikan ahli skuad PASPA mahir dalam segala aspek tugas menyelamat,” katanya.


ANTARA latihan berat perlu dilalui sebelum berjaya menjadi anggota elit PASPA.

Beliau berkata, pasukan khas APM pada awalnya ditubuhkan dengan keanggotaan seramai 100 pegawai dan anggota di seluruh Malaysia dan penempatan dilakukan mengikut zon iaitu zon utara, zon tengah, zon timur, zon selatan, zon Sabah dan Zon Sarawak.

Menurutnya, pada 1 Ogos 2017, pasukan itu diberi penjenamaan semula iaitu daripada PASPA kepada SPIDER Team.

“Penubuhan pasukan khas ini bertujuan untuk melaksanakan tugas operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) secara sistematik, teratur dan efisyen di dalam sesuatu bencana besar.

“Pasukan ini bertindak dalam situasi memerlukan kemahiran dan kepakaran serta peralatan canggih apabila tugas SAR dijalankan.

“Hasrat penubuhan pada ketika itu adalah membentuk satu pasukan dinamik serta berkemahiran tinggi yang mampu menangani sebarang tugas mencabar ketika berlakunya bencana amat kompleks.

“Setiap Pegawai Pasukan Khas APM diwajibkan mengikuti kursus khas selama enam bulan merangkumi semua modul,” katanya.

Beliau berkata, pasukan itu pernah dihantar untuk membantu mangsa bencana termasuk di Palu, Sulawesi, Indonesia tahun lalu.

Pada majlis penutup tamat latihan itu, APM turut mengadakan program bersama komuniti daerah Mersing membabitkan latihan orang awam, perlawanan bola sepak dan bola tampar pantai, selain bacaan surah Yaasin dan tahlil.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 8:09 PM