GAMBAR HIASAN
Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my


GIAT membawa masuk cecair nikotin yang diseludup dari Indonesia. Itu antara tindakan segelintir individu yang dikesan menghasilkan pelbagai perisa cecair rokok elektronik dicampur kimia nikotin.

Sumber kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, cecair nikotin boleh dibeli pada harga Rupiah 200,000 (RM 58) bagi setiap 100 mililiter (ml).

Menurutnya, nikotin hanya boleh digunakan untuk tujuan perubatan serta merawat ketagihan merokok di negara ini.

“Setakat ini hanya ada nikotin dalam bentuk tablet kunyah dan plaster lekat (patch) di pasaran.

“Bagaimanapun tablet kunyah dan patch itu hanya boleh dibeli di farmasi atas nasihat doktor,” katanya.

Dia berkata, belum ada keluaran berdaftar untuk nikotin dalam bentuk cecair.

“Berdasarkan risikan, peniaga cecair rokok elektronik melakukan campuran sendiri kimia nikotin ini bersama cecair pelbagai perisa buah-buahan,” katanya.

Menurutnya, pihak KKM sebelum ini sudah mengadakan dialog dengan pengusaha rokok elektronik atau vape berhubung keperluan undang-undang sebelum tindakan penguatkuasaan dilakukan.

“Ini susulan tular maklumat berhubung pelajar sekolah terbabit dalam aktiviti penagihan rokok elektronik awal bulan lalu.

“Susulan itu anggota dan pegawai Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menjalankan risikan dan intipan bagi mengenal pasti lubuk yang menjadi lokasi pelajar sekolah membeli rokok elektronik dan cecair vape mengandungi nikotin,” katanya.

Dia berkata, pihaknya turut melakukan penyamaran dengan membeli terlebih dahulu cecair rokok elektronik atau vape dari premis dikenal pasti bagi tujuan ujian makmal.

“Hasil ujian makmal kimia mendapati kebanyakan cecair vape itu mengandungi nikotin. Malah ketika operasi Op Asap dijalankan, kami mendapati ramai antara pelanggan yang membelinya adalah dikalangan pelajar sekolah.

“Ini dibuktikan apabila sebanyak enam premis diserbu didapati dikunjungi pelajar sekolah. ia membabitkan satu kes di Pahang, satu kes di Melaka dan empat di Johor,” katanya.

Menurutnya, rampasan membabitkan cecair vape seberat 1.1 mililiter (ml) hingga 120ml.

“Rampasan membabitkan beratus jenama dan perisa cecair rokok elektronik yang ada antaranya dijual semurah RM10. Operasi seumpama ini akan terus dipergiatkan dalam usaha membenteras penyalahgunaan nikotin,” katanya.

Kelmarin, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mendedahkan pihaknya menyerbu 78 premis menjual rokok elektronik di seluruh negara selepas dikesan menjual cecair rokok elektronik mengandungi kimia nikotin kepada pelajar sekolah.

Susulan serbuan besar-besaran dilakukan sejak Selasa lalu, sebanyak 66,988 botol cecair vape disyaki dicampur nikotin dirampas dengan anggaran nilai RM1.4 juta.

Difahamkan nikotin adalah sejenis alkaloid disenaraikan mengikut Perintah Senarai Racun 1952. Pengecualian perintah untuk nikotin hanya ada dalam tembakau.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 5:25 AM