MANGSA mengalami kecederaan di kepala dipercayai akibat didera. FOTO ihsan polis
Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


KANAK-kanak perempuan cedera selepas dipercayai didera oleh ibu saudaranya hanya kerana tidak membasuh pinggan.

Mangsa yang berusia 12 tahun itu mengalami bengkak di jari tangan, peha, punggung, belakang badan, benjol di dahi serta kesan luka lama di kepalanya.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kecederaan mangsa disedari pihak sekolah sebelum memaklumkan kepada ibunya, 21 Ogos lalu.

Menurutnya, ibu berusia 47 tahun itu menyatakan anaknya itu dijaga oleh adiknya di Bandar Botanik, dengan bayaran RM600 sebulan.

“Ibu mangsa hanya melawat anaknya sebulan sekali kerana dia bekerja di sebuah kilang di Kapar, Klang.

“Rakaman percakapan mangsa menyatakan dia dipukul beberapa kali oleh ibu saudaranya dengan kayu kerana tidak membasuh pinggan mangkuk,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, susulan itu polis menahan ibu saudara mangsa berusia 38 tahun di kediamannya di Bandar Botanik kira-kira jam 12.30 tengah malam semalam.

“Suspek direman selama tujuh hari sehingga Jumaat depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Mangsa juga sudah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan selanjutnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 6:03 PM