KERETA dinaiki Ibrahim dan cucunya. FOTO Ihsan Polis.
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@nstp.com.my


PESARA polis dan cucunya maut selepas Honda Accord dinaiki mereka merempuh treler muatan tong gas di Kilometer 38.8 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli dekat Gerik, hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira 12 tengah malam tadi menyebabkan Ibrahim Osman,58, yang beralamat di Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Ipoh, meninggal dunia di lokasi.

Manakala, cucunya Fahrin Haris Abdullah, 5, yang tercampak keluar meninggal dunia kerana parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa dari arah Gerik dipercayai terbabas ketika melalui selekoh dan memasuki laluan bertentangan.

Katanya, kenderaan itu kemudiannya merempuh treler yang datang dari arah Jeli.

“Hujan lebat serta jalan basah dipercayai sebab mangsa gagal mengawal kenderaannya sebelum treler itu yang gagal mengelak, merempuhnya.

“Kedua-dua mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Unit Forensik Hospital Gerik untuk bedah siasat manakala pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Ismail berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.;p.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 8:10 AM