Mohd Fauzi Abdullah
fauzie@hmetro.com.my


WALAUPUN berstatus minoriti, ia bukan penghalang bagi 30 daripada kira-kira 5,000 penduduk Tomba Gland di sini, untuk menegakkan syiar Islam di perkampungan berkenaan.

Nur yang diterima puak Komka itu untuk memeluk Islam seterusnya melihat ia berkembang dan subur mendorong mereka membina masjid sebagai lambang bertapaknya agama berkenaan di perkampungan terbabit.

Bermula Jun lalu, mereka mengerah kudrat menebang pokok, menebas hutan dan meratakan tanah bagi merealisasikan hasrat memiliki masjid yang akan menjadi pusat kegiatan agama serta dakwah kepada penduduk masih mengamalkan kehidupan tradisional di situ.

Usaha pembinaan rumah ibadat itu digerakkan bekas pemain ragbi bawah 19 tahun kebangsaan, Newmal MaipMokiuah atau Muhammad Papua, 30, yang memeluk Islam kira-kira sembilan tahun lalu.

Ketika kunjungan penulis bersama empat sukarelawan Misi Qurban Care 4 Ummah 2019 Yayasan Isra’ Malaysia (ISRA’) pada 9 hingga 13 Ogos lalu, kami dibawa melihat perkembangan pembinaan masjid itu di perkampungan berkenaan.

Jika di Malaysia, binaan itu hanya dianggap sebagai surau atau musola namun bagi puak Muslim Komka itulah masjid bagi mereka.


PENDUDUK bekerjasama untuk membina masjid serta pusat dakwah.

Ia dibina menggunakan kayu daripada pokok yang ditebang sendiri untuk dijadikan bahan utama dengan dinding dan bumbungnya pula hanyalah zink.

Di sebelahnya, dibina sebuah bangsal atau pondok untuk dijadikan pusat aktiviti dakwah menggunakan bahan daripada kulit kayu beratapkan tumbuh-tumbuhan kering persis kediaman tradisional mereka.

Muhammad yang pernah menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi swasta di Malaysia pada 2013 berkata, idea pembinaan masjid itu tercetus selepas dia bertemu Pengerusi ISRA’, Ahmad Tarmizi Sulaiman di Thailand, kira-kira dua tahun lalu.

“Ketika itu, saya melanjutkan pengajian dalam bidang sains komputer dan teknologi maklumat di Universiti Fatoni, Pattani. Kami bertemu dalam satu program diadakan di Thailand dan saya bercerita kepada Ustaz Tarmizi mengenai perkembangan Islam di Papua New Guinea,” katanya.

Katanya, dia memaklumkan kepada Ahmad Tarmizi mengenai hasrat membina masjid bagi membolehkan dakwah dijalankan kepada ‘orang-orangnya’ di Tomba Gland.

“Alhamdulillah, Ustaz Tarmizi sudi membantu dan meminta saya mencari tapak bagi merealisasikan hasrat itu. Apabila pulang ke kampung, saya memaklumkan kepada penduduk namun pada mulanya mendapat sedikit tentangan.


MASJID dan pusat dakwah semasa dalam proses pembinaan.

“Bagaimanapun, berkat dakwah dan sokongan beberapa puak Komka yang sudah memeluk Islam, kami mengadakan perbincangan bersama penduduk di sini, akhirnya usaha itu direstui,” katanya.

Katanya, bermula Jun lalu mereka membersihkan kawasan berkenaan sekali gus menandakan permulaan berkembangnya agama Islam di Tomba Gland.

Tiada angka tepat diperoleh mengenai jumlah umat Islam di negara mempunyai kira-kira lapan juta penduduk dengan lebih 800 puak itu, namun difahamkan sekitar 1,000 rakyat tempatan di ibu negara, Port Moresby dan 300 yang menetap di Mount Hagen menganutinya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa ISRA’ yang mengetuai misi berkenaan Dr Mukhtaruddin Musa berkata, pihaknya menyumbangkan hampir RM40,000 bagi pembinaan masjid dan pusat dakwah di Tomba Gland dianggarkan menelan kos RM50,000.

Katanya, dana itu sumbangan rakyat Malaysia yang prihatin terhadap perkembangan Islam di negara berkenaan.


SEBAHAGIAN penduduk di perkampungan Tomba Gland, Mount Hagen yang beragama Islam.

“Misi selama lima hari turut disertai wakil NGO Syabab Care Malaysia dan Group FB Titian Kasih. Sumbangan untuk membina masjid dan pusat dakwah di sini diberikan kepada pihak Muhammad secara berperingkat dan pada misi ini kami menyerahkan sebahagian lagi. Alhamdulillah, kami sudah tunaikan amanah daripada rakyat Malaysia bagi tujuan ini.

“Dalam misi ini juga, kami menyumbangkan dua ekor lembu dan kambing sebagai ibadah korban sempena Aidiladha bagi penduduk Muslim di Tomba Gland dan Wimbika, di sini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menyampaikan sumbangan kira-kira 150 naskhah wakaf al-Quran terjemahan, buku agama dan risalah dakwah kepada penduduk.

“ISRA’ adalah NGO berteraskan pendidikan, dakwah dan kemanusiaan. Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Yayasan Isra’ Malaysia 5520 9523 0206 (Maybank) atau menghubungi talian 014 3388099 untuk maklumat lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 6:15 AM
SUKARELAWAN ISRA’ bersama penduduk Tomba Gland yang beragama Islam.