FOTO hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


POLIS memberi amaran keras kepada orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan Bantahan Tulisan Khat Sekolah Tamil dan himpunan ‘Say No To Zakir Naik, Equal Rights To Indians dan Other Races’, malam ini dan esok di Little India, Brickfields.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap individu dan penganjur yang masih berdegil.

“Tindakan termasuk menangkap individu berkaitan akan diambil. Polis tidak membenarkan himpunan ini berlangsung atas sebab keselamatan.

“Isu ingin dibangkitkan sudah diselesaikan kerajaan, jadi tidak ada sebab untuk mengadakan himpunan berkenaan,” katanya pada sidang media khas di Kuala Lumpur, hari ini.

Mazlan berkata, pihaknya sudah menerima permohonan daripada penganjur, namun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak memberi kebenaran dan polis juga menolak atas isu keselamatan.

“Polis juga menugaskan kekuatan mencukupi bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman penduduk setempat terjamin.

“Individu yang menyertai himpunan ini akan disiasat mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya.

Katanya, pihaknya juga melencongkan tiga jalan utama iaitu Jalan Tun Sambanthan, Jalan Bank Rakyat dan Lebuhraya Persekutuan menghala ke Little India.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 6:35 PM