YANG SATU diberi suntikan new wave reggae dilancarkan ketika hari jadi Stacy.
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


BERMULA sebagai band projek pada 2014, eksperimentasi kumpulan Akim & The Majistret berhasil apabila berjaya melangkah jauh sekali gus mampu mencipta, jenama sendiri.

Dianggotai lapan pemuzik iaitu Akim Ahmad selaku penyanyi, Wan (dram), Freddy (gitar utama), Gjie (gitar kedua), Zimi (gitari ketiga), Fairuz (bass), Afiez (keyboard) dan Rajwan (digital dram) menjadikan mereka sebagai band terunggul dengan muzik yang dibawa.

Tidak dinafikan dari awal kemunculan menerusi lagu Mewangi, Akim & The Majistret seolah-olah menjadi kegilaan baru anak muda menerusi lagu yang dibawa.

Antaranya, Potret, Obses, Lagu Untuk Laila, Stereotype dan Rampas. Terbaru, kumpulan ini yang juga pemenang Anugerah Juara Lagu dan Persembahan Terbaik pada AJL 30 tampil dengan single terbaru berjudul Yang Satu.

Menurut Akim, lagu berentak pop balada itu diberi suntikan new wave reggae hingga menjadikan ia sebuah lagu yang mesra telinga.

“Single sebelum ini, Rampas dan Ladida bukan bergenre balada. Jadi, untuk single baru ini kami bersepakat untuk meletakkan unsur yang lebih ‘mellow’ dan berentak balada.

“Bagi kami, inilah lagu yang dinantikan pendengar dan peminat muzik kami. Lagi pun, agak lama juga rentak sebegini tidak diperdengarkan kepada mereka,” katanya.

Lebih manis, Akim berkata, lagu itu juga dicipta dan ditujukan buat isteri tercinta, Stacy.

“Lagu ini mengisahkan seseorang yang mendambakan kasih sayang yang ikhlas daripada kekasihnya. Bagi dirinya, hanya pasangannya saja yang memahami segalanya mengenai dirinya.

“Secara peribadi, lagu ini adalah untuk isteri tercinta. Dialah Yang Satu dalam hidup saya. Sebab itu, saya memilih untuk melancarkan lagu pada majlis sambutan hari jadinya, Ahad lalu.

“Inilah hadiah yang paling bermakna saya berikan buat isteri tercinta. Saya berharap Stacy menghayati setiap baris ayat dalam lagu ini,” katanya.

Lagu itu adalah ciptaan bersama Akim yang menggunakan nama pena Hang Nadim dengan Zimi (Laq). Hang Nadim juga menulis lirik lagu ini.


KELUARGA Akim.

PROJEK BERSAMA STACY

Akim yang turut mencipta lagu terbaru isterinya iaitu Khayal berkata, mereka akan lebih kerap bekerjasama dalam lagu.

“Sekarang lebih aktif buat lagu dengan Stacy. Kami memang buat bersama di rumah. Sekarang, kami juga sedang dalam rangka menyiapkan beberapa lagu untuk artis di bawah syarikat kami seperti Hafiz Zainal, Sharul Kamal dan Sevendays.

“Lagu mereka dalam pembikinan. Pendek kata, memang seronok bekerjasama dengan isteri. Dulu memang sukar nak bekerjasama sebagai komposer, tapi apabila dapat buat sekali, baru sedar kami ada keserasian.

“Jiwa kami lebih dekat. Dulu mungkin saya tak percaya dengan kebolehannya. Jadi, apabila hasilnya menjadi, bertambah sayang padanya,” katanya.

Selain bekerjasama dalam penciptaan lagu, Akim berkongsi dalam perancangan menghasilkan album duet dengan Stacy.

“Perancangan ini sudah lama sebenarnya. Jadi, kami ingin realisasikan juga. Buat masa sekarang sudah ada dua lagu. Mungkin akan keluarkan single dulu dalam Oktober ini.

“Lagu dan lirik ciptaan kami. Ia sebuah lagu cinta dan ada elemen rancak atau medium tempo," katanya.

FOKUS KELUARGA

Keputusan Akim untuk bekerjasama dengan Stacy antara lain memudahkan mereka memberi fokus kepada keluarga dan perkembangan dua anak yang semakin membesar.

“Kami berdua penyanyi dan masa memang tidak menentu. Apabila masing-masing sibuk, ia menjadikan kehidupan berkeluarga tidak efisyen.

“Disebabkan itu, kami mengambil pendekatan dengan cara ini. Apatah lagi anak semakin membesar. Bella sudah darjah satu, Eshal pula sudah berusia dua tahun dan mereka perlukan perhatian.

“Kalau kami balik lambat, rasa bersalah pula. Sesekali okey, tapi bukan selalu. Jadi, apabila wujudnya kerjasama ini, masa kami banyak dihabiskan bersama di rumah,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan menambah cahaya mata, Akim berkata belum terfikir ke arah itu.

“Dulu bercita-cita nak anak ramai macam pasukan bola. Tapi, apabila fikir balik, saya berasakan sudah cukup bahagia sekarang.

“Saya nak tengok anak membesar. Nak memberi fokus kepada perkembangannya. Jadi, soal tambah anak, nanti dululah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 6:20 AM