DAWAI dililit dengan ketat pada perut anjing menyebabkan kecederaan pada haiwan itu. FOTO Persatuan Haiwan Malaysia.
Alias Abd Rani
lias@hmetro.com.my


DAWAI dililit berdekatan perut mengakibatkan kemaluan seekor anjing terkeluar.

Perbuatan zalim itu menyebabkan haiwan terbabit sering melarikan diri sebaik terserempak dengan manusia.

Siri kekejaman terhadap haiwan berlaku lagi dan kali ini Persatuan Haiwan Malaysia menerima beberapa keping gambar daripada orang ramai mengenai insiden menimpa seekor anjing di Nilai, Negeri Sembilan.

Anjing dewasa itu ditemui orang awam berlegar-legar di sekitar bandar terbabit dalam keadaan pinggang diikat dengan dawai secara ketat.

Malah, siasatan Persatuan Haiwan Malaysia berdasarkan gambar diberikan menunjukkan terdapat pintalan dawai dipercayai dilakukan manusia dan bukannya berlaku secara tidak sengaja.

Presidennya, Arie Dwi Andika berkata, pintalan dawai terbabit dipercayai sengaja dilakukan sama ada untuk mematikan haiwan berkenaan atau secara suka-suka.

“Berdasarkan gambar diberikan, kami percaya ia berlaku lebih sebulan lalu menyebabkan pinggang anjing terbabit semakin mengecut.

“Ini mungkin memberikan komplikasi kepada anggota lain jika dibiarkan kerana darah tidak mengalir secara normal dan tidak mustahil berlaku kerosakan pada anggota.

“Perbuatan ini cukup zalim dan tidak masuk akal. Mana mungkin manusia normal boleh bertindak demikian terhadap haiwan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau berkata, buat masa sekarang, pihaknya sudah menghantar kakitangan ke lokasi untuk mengesan anjing terbabit, sekali gus memberi bantuan segera.

“Tapi malangnya, usaha kami gagal kerana anjing terbabit tidak kelihatan. Daripada maklumat diterima saksi, haiwan terbabit akan melarikan diri jika terserempak dengan manusia.

“Kami mendapat kerjasama orang ramai yang berada di sekitar lokasi untuk mengesannya.

“Malah, kami mungkin memasang perangkap sekali gus memudahkan ia diselamatkan,” katanya.

Persatuan Haiwan Malaysia memuat naik gambar anjing terbabit berserta status dalam Facebook rasminya hingga mendapat perhatian pelbagai pihak.

Status terbabit antaranya: “Lagi siri kekejaman dan perbuatan zalim terhadap anjing di Nilai, Negeri Sembilan.

Satu aduan diterima berkenaan seekor anjing dewasa ditemui dalam keadaan pinggang diikat dawai secara ketat. Kesan ini menyebabkan kemaluannya terjojol keluar.

Perbuatan manusia biadab terhadap anjing ini amat menyeksa sang anjing.

Mengikut laporan anjing ini sukar didekati dan kerana itulah diminta sesiapa sahaja boleh turun untuk sama-sama membantu melepaskan ikatan anjing ini.

Pasukan menyelamat dikerah ronda di kawasan berkenaan untuk memasang perangkap yang diperlukan. Semoga Anjing Dawai malang ini dapat dibantu.

Kawasan Legar: Fun Fair Nilai atau Kawasan Tesco Nilai Negeri Sembilan dan berdekatan.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 8:04 PM