ZUL Ariffin bakal menamatkan zaman bujangnya dan akan bernikah dengan wanita pilihan hatinya tahun depan.
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


PELAKON popular Zul Ariffin bakal menamatkan zaman bujangnya dan akan bernikah dengan wanita pilihan hatinya tahun depan.

Bagaimanapun, Zul ketika ditemui enggan berkongsi siapa wanita bertuah itu tetapi menjelaskan kekasihnya itu bukan dalam kalangan selebriti dan bukan Islam.

“Pilihan sudah ada, cuma saya akan kongsikan siapa orang itu apabila sudah sampai waktunya nanti. Tidak perlu teka siapa gerangan wanita itu, nantikan berita itu tahun depan.

“Buat masa ini, saya nak bakal isteri saya mengenal agama Islam secara lebih mendalam dan ikhlas untuk memeluk Islam. Jika dia berniat memeluk Islam sebab nak berkahwin dengan saya, perkara itu tidak akan berlaku kerana saya tidak izinkan. Saya sudah jelaskan perkara ini kepadanya,” katanya.

Menurut Zul, dia memandang perkahwinan itu dari sudut yang berbeza berbanding orang lain.

“Saya tidak mahu perkahwinan menjadi huru-hara jika saya tidak bersedia. Kalau saya berkahwin nanti saya nak berubah terus. Saya nekad untuk menjadikan perkahwinan sebagai satu tanggungjawab berat yang perlu saya galas. Sebaik melangkah ke gerbang perkahwinan saya akan tinggalkan segala apa yang tidak baik sebelum ini.

“Memilih untuk memperisterikan wanita bukan Islam bukan perkara mudah. Sebelum nak membimbing dia ke arah kebaikan, saya kena jadi lebih bagus. Sekarang saya sedang membuat persiapan ke arah itu. Doakan semoga semuanya berjalan dengan baik. Saya nak rumah tangga yang bakal dibina nanti mengikut apa yang saya harapkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 3:51 PM