Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


LELAKI yang melanggar Syed Muhammad Danial Syed Syakir didakwa di Mahkamah Majistret Kajang, hari ini, atas pertuduhan membunuh mangsa di Kilometer 293.6 Lebuhraya Utara Selatan, 10 Ogos lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan diambil daripada Yew Wei Liang, 41, yang bekerja di bahagian Teknologi Maklumat (IT) ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Afidah Idris.

Ini berikutan kes bunuh adalah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Tertuduh yang memakai baju-T berwarna hitam dilihat tenang dan mengangguk faham di dalam kandang tertuduh.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Syed Muhammad Danial, 29, antara jam 1 tengah hari dan 2 petang di Kilometer 293.6 Lebuhraya Utara Selatan (Kuala Lumpur menghala Seremban) pada 10 Ogos lalu.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Terdahulu, Peguam S Selvam yang mewakili tertuduh memaklumkan bapa keluarga lelaki itu menerima panggilan telefon daripada isteri Yew selepas insiden terbabit.

“Bagaimana keluarga boleh menerima panggilan telefon daripada nombor isteri anak guam, sedangkan telefon bimbit itu berada dalam pegangan polis.

“Selain itu, anak guamnya juga memaklumkan dia mengalami kecederaan akibat penderaan yang kemudiannya dibawa ke Hospital Kajang pada 13 Ogos lalu," katanya.


YEW Wei Liang ketika hadir di mahkamah. FOTO Aizuddin Saad

Selvam berkata, sepanjang tempoh reman, anak guamnya dipaksa oleh polis untuk membuat pengakuan atas kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan sedangkan tertuduh mendakwa insiden itu hanyalah kemalangan jalan raya.

Justeru, Selvam memohon mahkamah supaya menetapkan tarikh bagi mendengar aduan berhubung perkara.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 27 September depan sebagai sebutan semula kes bagi menyerahkan laporan termasuk isu yang timbul.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Noor Hafizan Zakaria.

Terdahulu, tertuduh dibawa menggunakan trak polis dan memasuki perkarangan mahkamah tepat jam 9 pagi.

Kira-kira 30 pengamal media yang berkumpul di mahkamah ini sejak jam 7 pagi dilihat mengejar trak polis berkenaan bagi merakamkan gambar lelaki itu.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Syed Muhammad Danial, 29, meninggal dunia ketika dirawat di Nilai Medical Centre.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat dilaporkan berkata, kejadian itu berlaku berpunca daripada kemalangan kecil antara Syed Muhammad Danial dengan tertuduh selepas Plaza Tol Sungai Besi menghala ke selatan.

Difahamkan, kereta Syed Muhammad Danial melanggar bahagian belakang kereta suspek menyebabkan berlaku kejar-mengejar sehingga kenderaan mereka berhenti selepas persimpangan Bandar Baru Bangi.

Menurutnya, pergaduhan antara suspek sebelum mangsa yang dikatakan tidak berpuas hati keluar dari kenderaannya dengan membawa kayu besbol dan terus memukul bahagian hadapan kereta suspek.

Katanya, suspek yang kemudian menekan pedal minyak dalam keadaan tergesa-gesa terlanggar Syed Muhammad Danial.

Kejadian itu menyebabkan Syed Muhammad Danial tersepit di antara kereta suspek dan penghadang jalan sebelum dikejarkan ke Nilai Medical Centre oleh orang awam.

Berita berkaitan

Suspek bunuh Danial tiba di mahkamah [METROTV]

Tunggu arahan Timbalan Pendakwa Raya

Sambung reman suspek langgar Syed Muhammad Danial [METROTV]

Sedih sangat! - Raja Permaisuri Agong

Dua adik ipar bagi keterangan

Beberapa saksi tampil beri keterangan

Air mata Qistina iringi pemergian suami

'Kenapa perlu hingga meragut nyawa?'

Provokasi jadi punca... [METROTV]

Kenapa la tak bincang elok-elok...

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 11:08 AM