KERAJAAN akan mengumumkan pelaksanaan program subsidi petrol bersasar kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


PERLU telus, sistematik dan berfungsi secara menyeluruh di semua kawasan termasuk luar bandar.

Itu antara harapan orang ramai mengenai pelaksanaan program subsidi petrol bersasar kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) yang bakal diumumkan kerajaan dalam tempoh terdekat.

Kakitangan swasta, Adib Ghazali, 25, berkata, inisiatif kerajaan bagi membantu meringankan kos sara hidup yang kian meningkat itu perlu disalurkan kepada kumpulan sasaran berkelayakan.

“Umum mengetahui minyak petrol menjadi sumber keperluan utama kepada rakyat untuk menjalani kehidupan seharian termasuk penunggang motosikal seperti saya yang berpendapatan sederhana.

“Justeru, saya berharap kerajaan memastikan subsidi berkenaan hanya disalurkan kepada golongan yang layak terutama membabitkan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH),” katanya.

Bagi peniaga, Mohd Azis Hasan, 58, mekanisme subsidi itu juga perlu dijalankan secara sistematik bagi mengelak berlaku isu ketirisan, sekali gus dimanfaatkan semua penerima termasuk di luar bandar.

“Sebagai contoh, jika membabitkan kad subsidi petrol, ia perlu dilaksanakan secara sistematik dengan dilengkapi ciri keselamatan terbaik bagi mengelak wujud penyelewengan oleh pihak tertentu.

“Selain itu, mekanisme berkenaan diharap dapat digunakan secara menyeluruh oleh penerima bukan saja di kawasan bandar malah di pedalaman atau kampung di luar bandar di seluruh negara,” kata bapa kepada empat anak itu.

Lepasan graduan Universiti Malaya (UM), Nur Atika Mohamad Ali, 24, pula berkata, inisiatif itu diharap membantu golongan belia terutama yang baru memperoleh pekerjaan dan menetap di kawasan bandar.

“Kehidupan awal di bandar sememangnya sukar dan mekanisme itu sekurang-kurangnya meringankan kos sara hidup mereka yang baru bekerja.

“Selain itu, kerajaan mungkin boleh melaksanakan mekanisme sama seperti subsidi barangan keperluan asas lain kepada golongan B40,” katanya.

Harian Metro, semalam melaporkan, mekanisme program subsidi petrol bersasar kepada B40 akan diumumkan dalam tempoh dua minggu lagi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelaksanaan itu bagaimanapun tertakluk kepada keputusan dan nasihat Jemaah Menteri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 6:10 AM