CINTA cuba diatur keluarga dalam drama bersiri Tuan Danial.
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my

KALI pertama digandingkan dalam drama bersiri Tuan Danial, Intan Najuwa dan Idris Khan tidak perlu menunggu lama untuk mencipta keserasian bersama.

Buktinya, ketika episod pertama ditayangkan di slot Lestary TV3 pada 9 Ogos lalu, kedua-dua pelakon itu menerima maklum balas positif apabila ramai penonton menyukai gandingan mereka yang bersahaja dan mesra.

Intan berkata, dia dan Idris memberikan sepenuh komitmen dan usaha untuk memastikan drama adaptasi novel ini berjaya menambat hati peminat .

“Banyak aksi spontan yang dilakukan sepanjang penggambaran berlangsung. Idris dan saya cuba menghidupkan karakter Tuan Danial dan Tengku Ismahanim sebaik mungkin.

“Malah, kami juga tak sangka drama ini menerima maklum balas positif daripada penonton ketika episod pertama ditayangkan.

“Babak Idris mengangkat saya pantas mencuri perhatian hingga dihujani mesej di laman sosial. Sebenarnya, babak itu dilakukan secara spontan. Memang tiada dalam skrip. Dia angkat saya kerana kata saya kecil dan ringan,” katanya.

Menurut Intan, dia kini diberi tanggungjawab berbeza apabila menerima naskhah romantik komedi berbanding drama berat sebelum ini.

DRAMA Tuan Danial.

“Cabaran drama ini adalah untuk memastikan penonton puas hati dengan drama ini kerana ia adaptasi novel. Jadi harapan peminat novel itu sangat tinggi dan saya akui sedikit tekanan.

“Bagaimanapun, dengan bantuan pengarah dan seluruh pelakon ia berjaya diadun dengan baik. Jika pada masa akan datang ada lagi drama bergenre sebegini, saya tidak kisah untuk beraksi lagi,” katanya.

MENYAMAR JADI PEMBANTU RUMAH

Drama bersiri 13 episod itu mengisahkan cinta yang cuba diatur oleh keluarga Tengku Ismahanim dengan jejaka yang tidak dikenali bernama Danial mendorongnya menyamar sebagai pembantu rumah. Danial bukan lelaki pertama yang membuatkan Tengku Ismahanim atau Is menyamar sebagai pembantu rumah.

Penyamaran Is ini adalah untuk menyiasat latar belakang dan sikap sebenar bakal suami yang dicadangkan oleh bapanya, Tengku Khalil namun semua calon itu tidak berjaya memikat hati Is sehinggalah dia menyamar menjadi pembantu rumah milik keluarga Tuan Danial.

Berlainan dengan jejaka sebelumnya, walaupun Tuan Danial kelihatan agak sombong dan tegas, Is tertarik hati kerana bakal suaminya itu tidak terlalu bergantung dengan pembantu rumah. Berlaku pelbagai insiden melucukan ketika Is menyamar menjadi pembantu rumah Tuan Danial kerana Is sentiasa mengingkari arahannya dan Is sememangnya tidak tahu membuat kerja rumah.

Pengarahnya, Idora Abdul Rahman berkata, antara cabaran yang terpaksa dihadapi adalah untuk memastikan semua pelakon terutama bintang baharu bersedia dengan dialog yang perlu mereka lontarkan ketika penggambaran.

“Bukan mudah berhadapan dengan pelakon baharu dan mereka yang pertama kali terbabit dalam penggambaran. Ketika penggambaran, kami tidak ada ruang untuk buka kelas lakonan kerana drama ini perlu disiapkan mengikut masa ditetapkan.

“Jadi, setiap pelakon perlu mengkaji watak mereka bagi memudahkan proses penggambaran. Kalau ditanya kenapa tidak ambil pelakon yang tahu berlakon, bagi saya kita perlu beri peluang kepada pelapis baharu. Mereka perlukan peluang tetapi pada masa sama mereka perlu berusaha memperbaiki persembahan,” katanya.

Kata Idora, dia bersyukur Intan dan Idris mudah mencipta keserasian dalam drama itu sekali gus memudahkan proses penggambaran.

“Ini kali pertama Intan berganding dengan Idris. Alhamdulillah, mereka cepat mencipta keserasian ketika hari pertama dipanggil untuk membaca skrip.

BARISAN pelakon dan kru produksi Tuan Danial.

“Saya lihat kedua-dua pelakon utama ini komited dan senang bekerjasama. Begitu juga dengan barisan pelakon lebih senior seperti Zuhairi Ibrahim, Datin Seri Noniswara dan Arman Graseka yang tidak kedekut ilmu membantu pelapis muda menjayakan setiap babak,” katanya.

Bercerita lanjut bagaimana dia mengarahkan naskhah adaptasi novel, Idora berkata, pengalaman banyak membantunya.

“Sebelum ni sudah beberapa kali saya mengarah drama adaptasi novel. Bagi saya, menerusi novel, pemahaman mengenai naskhah akan lagi jelas kerana penjelasan yang lebih terperinci sudah diberikan. Namun, cabarannya akan terasa apabila nak terjemahkan ke bentuk visual.

“Walaupun pengarah diberi kebebasan untuk berkarya, saya masih perlu memikirkan harapan pembaca yang menginginkan rasa yang sama seperti novel. Saya bersyukur menerima maklum balas yang baik dalam kalangan penonton malah ada yang tersenyum sendiri apabila menonton. Sedikit sebanyak saya rasa puas kerana dapat mencuit hati mereka,” katanya. .

Saksikan drama terbitan Creative Skill Solution Sdn Bhd itu pada setiap Rabu hingga Jumaat, jam 9 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 5:30 AM