AYDA jayakan persembahan mini dalam pesawat AirAsia AK5106 dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


Bagai mimpi menjadi kenyataan. Itulah yang dialami penyanyi dan pelakon popular, Ayda Jebat apabila diberi peluang membuat persembahan dan menghiburkan penonton di altitud tertinggi, sekali gus tercatat dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Ayda melakar sejarah itu menerusi persembahan mini pertamanya dalam pesawat AirAsia AK5106 yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Sabah dengan ketinggian 38,000 kaki dari paras laut.

Ia diiktiraf sebagai Persembahan Muzik Secara Langsung di Altitud Paling Tinggi. Siapa sangka, berkat usaha keras dan komitmen dalam memastikan kerjaya seni dilakukan terus mekar, Ayda terus mencipta sejarah demi sejarah baru dalam portfolio seninya sebagai anak seni.

Teruja dan bersyukur dengan peluang yang diberikan kepadanya, penyanyi lagu Pencuri Hati ini berkata, dia bangga dengan pengiktirafan itu.

“Saya sendiri tidak percaya dengan peluang yang diberikan penganjur. Banyak lagi penyanyi yang bagus dan berpengalaman, tetapi mereka memilih saya untuk menyanyi.

“Menyanyi di dalam pesawat yang sedang terbang di awan biru benar-benar bagai mimpi menjadi kenyataan. Selain itu, saya terharu kerana penumpang pesawat turut sudi menyanyi bersama,” katanya.

Dianjurkan sempena Minggu Muzik Malaysia 2019 (MMM2019), Ayda berkata, dia berasa sedikit gusar pada awalnya memandangkan penumpang pesawat terdiri daripada pelbagai bangsa.

Justeru, penyanyi berusia 27 tahun itu tidak melepaskan peluang menghiburkan penumpang menerusi lagu Xin Tai Ruan memandangkan ramai penumpang berbangsa Cina.


MENYANYI tiga lagu dalam pesawat AirAsia dari pada ketinggian 38,000 kaki daripada paras laut.

“Saya rasa teruja apabila dapat menyanyikan tiga lagu pada acara ini termasuk lagu Pencuri Hati dan Temberang.

“Ketika saya menyanyikan lagu berbahasa Cina, rata-rata mereka bersorak dan mengikut menyanyi bersama. Ini satu kenangan manis yang tidak mungkin saya lupakan,” katanya.

Selain itu, kumpulan indie, Shadow Puppet Theatre turut membuat persembahan pada konsert mini terbabit dan berkongsi momen kejayaan itu bersama Ayda.

Selain penumpang yang berada dalam perut kapal terbang itu, konsert mini yang berdurasi sekitar 40 minit tersebut turut disaksikan Pengerusi Pelancongan Malaysia, Datuk Ahmad Shah Tambakau dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Book Of Records, Datuk Michael Tio.

BUAT ALBUM DULU, BARU BIKIN KONSERT

Hampir lapan tahun dalam industri seni, Ayda mengakui kini bukanlah masa untuknya mengejar populariti. Sebaliknya, dia kini optimis untuk mengadakan konsert solo pada masa akan datang.

“Perancangan untuk mengadakan konsert sentiasa ada dalam fikiran. Macam-macam konsep sudah saya fikirkan, tapi untuk mengelolakan konsert bukanlah mudah.

“Banyak aspek perlu diberi perhatian kerana perbelanjaan yang bakal dikeluarkan bukan sedikit. Saya juga memerlukan lagu yang banyak jika mahu merealisasikan sebuah konsert besar. Jika saya hanya ada enam atau tujuh lagu, susah untuk menghiburkan penonton dan peminat. Jadi biarlah dulu,” katanya.

Menurut Ayda, sebelum dia berfikir panjang untuk mengadakan konsert, dia terlebih dulu ingin menghasilkan album studio.

“Proses pembikinan album sudah 60 peratus siap. Mengikut jadual, saya akan memasarkan album terbabit selewat-lewatnya awal tahun depan.

“Selepas album dilancarkan, saya sudah boleh merancang untuk mengadakan konsert. Ketika itu, saya sudah boleh menyanyikan lagu sendiri,” katanya mengenai album yang memuatkan 10 lagu itu.


TAK sangka menjadi pilihan AirAsia.

TIADA REZEKI TERCALON DALAM TOP 5 ABPBH ke-32

Ayda menyifatkan ketiadaan namanya dalam senarai Top 5 Anugerah Bintang Popular BH ke-32 (ABPBH32) sebagai bukan rezekinya.

Walaupun tidak disenaraikan, dia tetap memberikan sepenuh sokongan terhadap acara gilang-gemilang itu serta mana-mana majlis penganugerahan.

“Ini semua adat pertandingan. Saya anggap tiada rezeki dan akan terus memberikan sokongan kepada penganjuran ABPBH32.

“Lagipun, prinsip saya bukan mahu kejar trofi, tetapi mendapatkan karya berkualiti bagi menghiburkan pencinta muzik dan mewarnai industri seni lakon. Itu lebih penting,” katanya.

Menurut Ayda, anugerah bukan jaminan anak seni dapat terus kekal dalam industri hiburan tanah air, sebaliknya ia bergantung kepada bagaimana seseorang itu merencanakan perjalanan kerjayanya.

“Anugerah bukan tiket untuk berada dalam bidang ini selama-lamanya. Saya pernah menang anugerah, tetapi masih perlu berusaha untuk mendapatkan naskhah terbaik serta lagu mesra telinga bagi menambat hati peminat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 6:01 AM