EZZO bergambar di sisi lukisannya memaparkan perkampungannya di selatan Sudan. - AFP
AFP

LAUT MEDITERRANEAN: Sengsara dan penderitaan pendatang di Libya, termasuk diseksa digambarkan melalui lakaran mangsa berada dalam kapal penyelamat migran, Ocean Viking, yang kini terdampar di tengah laut, menunggu negara yang sanggup menerima mereka.

Lakaran yang dipamerkan dalam kapal itu berkisar mengenai penyeksaan di Libya, perang di Darfur, perkampungan di selatan Sudan dan pokok baobab di Senegal.

Sementara menunggu jika ada pelabuhan di Eropah bersedia menerima mereka, 356 pendatang yang kapal diselamatkan Ocean Viking, dipelawa melukiskan memori indah dan pengalaman ngeri mereka.

Arun Mohamed dari Sudan melukiskan gambar kapal terbang menyasar rumahnya yang bumbungnya terbakar, manakala keluarganya sedang melarikan diri.

Menurutnya, ketika meninggalkan bandar itu yang huru-hara pada 2011, dia memutuskan ke ibu negara, Khartoum, sebelum meneruskan perjalanan ke Libya.

Seorang lagi migran, Adam, 18, dari Libya melukiskan seorang pemuda tergantung dari siling dengan kaki dan tangan diikat, manakala dua lelaki membelasahnya. Di belakang mereka, tahanan berbaris menunggu giliran untuk diseksa.

Lukisannya itu mencetuskan reaksi pendatang lain dan ada yang didengar berbisik: “Ya begitulah, kami semua beratur menunggu giliran.”


LUKISAN yang dipamerkan di atas Ocean Viking. - AFP

Libya menjadi pusat transit pendatang dari Afrika yang mahu ke Eropah dan ramai menjadi mangsa sindiket jenayah yang menjadikan mereka sebagai tebusan menuntut wang daripada keluarga.

Jika wang tidak diserahkan, mereka diseksa atau dijual kepada pihak ketiga untuk pelbagai tujuan.

Seorang lagi lelaki Libya, Allahaddin melukiskan gambar peta Libya berwarna merah.

“Selamat tinggal, neraka,” katanya tersenyum sambil menunjukkan isyarat kemenangan.

Bagaimanapun, ada juga pendatang seperti Ezzo yang memilih kenangan indah, iaitu kampungnya di pinggir tasik tempatnya belajar berenang, tidak jauh dari Pergunungan Nuba di Sudan.

Ada juga lukisan menunjukkan pendatang diselamatkan Ocean Viking 10 hari lalu, ketika terkandas dalam bot kecil dan rapuh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 6:01 AM