LAPORAN portal berita Harian Metro.
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


POLIS menahan seorang lelaki untuk membantu siasatan kes kebakaran membabitkan mimbar dan permaidani Masjid Padang Setol, Jalan Pedu, Padang Terap, hari ini.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Noh Idris berkata, lelaki berusia 23 tahun ditahan jam 3 petang di Kampung Tanjung Pedu.

“Berdasarkan siasatan, suspek memiliki dua rekod jenayah berkaitan jenayah khianat dan judi.

“Polis menemui beberapa bukti kukuh boleh mengaitkan suspek dengan kejadian jenayah khianat terhadap pusat ibadat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Noh berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, kes dianggap selesai dengan penahanan suspek.

Harian Metro sebelum ini melaporkan mimbar dan permaidani Masjid Tanjung Setol, Jalan Pedu dipercayai dibakar dan mempunyai unsur khianat.

Kejadian disedari jemaah masjid yang datang menunaikan solat Subuh jam 5.40 pagi sebelum mendapati api sudah terpadam.

Berikutan itu, jemaah berkenaan membuat laporan polis di balai berhampiran sebelum Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah dan polis melakukan siasatan.

Berita berkaitan

Botol baki minyak petrol ditemui

4 masjid ‘terbakar’ dalam seminggu

’Terkejut masjid sendiri terbakar’

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 11:05 PM